Lima penduduk Orang Asli berpindah akibat tanah runtuh

4 Jul 2023 • 10:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kejadian tanah runtuh dilaporkan telah mengenai dua rumah penduduk Orang Asli di Kampung Juang, Simpang Pulai pada Selasa. - Foto: ihsan Bomba Perak

IPOH - Seramai lima penduduk Orang Asli yang mendiami dua rumah di Kampung Juang, Simpang Pulai di sini, diminta berpindah selepas berlaku kejadian tanah runtuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai diatur gerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan sekitar jam 7.24 petang.

Menurut beliau, tanah runtuh itu dilaporkan telah mengenai bahagian belakang rumah penduduk terlibat.

"Hanya dua rumah yang dihuni lima mangsa terlibat dalam kejadian ini.

"Pemantauan dilakukan dan didapati keadaan struktur tanah kurang stabil akibat hujan lebat.

"Atas faktor keselamatan berikutan keadaan cuaca yang mendung, mangsa diminta untuk pindah ke rumah jiran yang jauh dari kawasan risiko," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Sayani berkata, perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak polis untuk rujukan semasa dan operasi tamat pada jam 8.19 malam.