
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela dan menggunakan kata-kata kesat terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pertuduhan dibacakan dalam prosiding yang berlangsung di dalam bilik Mahkamah Kanak-Kanak yang berlangsung pada Rabu.
Menurut pertuduhan, pada 15 Julai lalu kira-kira 10 malam sehingga 11 malam, tertuduh telah menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa, yang mana perkataan tersebut didengari yang mungkin menyebabkan mangsa berasa terganggu dengan perkataan tersebut.
Sehubungan itu, kesemua tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan 16 Oktober bagi tarikh sebutan semula yang kedua.
Turut ditetapkan tarikh untuk perbicaraan kes tersebut pada 15 hingga 19 Disember depan.
Prosiding dikendalikan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus bersidang untuk Mahkamah Kanak-Kanak tersebut.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan.
Peguam bela salah seorang tertuduh diwakili oleh Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.
Pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina turut hadir di mahkamah tersebut dan bertindak sebagai pemerhati.
Peguam yang hadir ialah Hamid Ismail Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Sementara itu, Nor Azizah ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah memaklumkan bahawa larangan perintah mahkamah (gag order) dimohon oleh peguam bela, Datuk Ram Singh.
Lagi artikel berkaitan:

