BATU PAHAT – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengalami kecederaan melecur dalam kebakaran yang melibatkan lima buah rumah teres di Taman Londang, Parit Raja, malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.21 malam itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Fariz Abdullah dilaporkan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Komander Operasi, Pegawai Penguasa Bomba, Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 8.21 malam.
Jelasnya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan bantuan BBP Rengit digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan lima unit rumah teres jenis kekal bernombor 11 hingga 15 dengan keluasan setiap rumah dianggarkan 14 x 22 kaki.
"Kebakaran menyebabkan rumah nombor 13 mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus, diikuti rumah nombor 12 sebanyak 60 peratus.
**media[3535670]**
"Rumah nombor 14 mengalami kerosakan 30 peratus, rumah nombor 11 sebanyak 25 peratus manakala rumah nombor 15 sekitar 10 peratus," katanya dalam kenyataan.
Mohd Shamin memberitahu, turut terlibat dalam kebakaran itu ialah dua buah kereta dan lapan motosikal.
"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan serta satu aliran salur bantu mula menggunakan sumber air daripada jentera dan pili bomba berhampiran.
"Api berjaya dikawal pada jam 8.46 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 malam.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.



