Wanita OKU rentung, ibu cedera dalam kebakaran rumah

13 May 2026 • 9:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wanita OKU rentung, ibu cedera dalam kebakaran rumah
Anggota bomba yang tiba mendapati api sedang marak dengan anggaran kemusnahan sekitar 70 peratus. Foto JBPM Perak
Image from: Wanita OKU rentung, ibu cedera dalam kebakaran rumah
Keadaan sebuah rumah dua tingkat di Parit 310, Bagan Tiang, Parit Buntar yang terbakar awal pagi Rabu. Foto JBPM Perak
Image from: Wanita OKU rentung, ibu cedera dalam kebakaran rumah
Anggota bomba membuat kerja-kerja pemadaman sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya. Foto JBPM Perak

PARIT BUNTAR – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Parit 310, Bagan Tiang, awal pagi Rabu.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar jam 2.34 pagi melibatkan mangsa, Nor Haniza Mahyudin, 48.

Kebakaran itu turut menyebabkan ibu mangsa berusia 71 tahun mengalami kecederaan selepas melecur di kedua-dua tapak kaki.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati api sedang marak dengan anggaran kemusnahan sekitar 70 peratus.

**media[3518994]**

Menurutnya, sebuah kenderaan jenis Proton Iriz turut terbakar dalam kejadian sama.

“Mangsa wanita OKU ditemukan meninggal dunia di dalam rumah berkenaan.

"Seorang lagi mangsa yang juga warga emas cedera pada kedua-dua tapak kaki telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

**media[3518995]**

Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan anggota dari BBP Parit Buntar dibantu BBP Kuala Kurau serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Parit Buntar dengan kekuatan keseluruhan 17 anggota.

Menurutnya, komander operasi melaksanakan ‘size-up’ sebelum mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.25 pagi," katanya.