
KUALA LUMPUR 22 Dis – Lima syarikat memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pembangunan projek solar berskala besar (LSS).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lima syarikat tersebut melibatkan anak syarikat dan syarikat usaha sama milik Jaks Resources Bhd, Sunview Group Bhd, Cypark Resources Bhd, Wawasan Dengkil Holdings Bhd serta Nestcon Bhd.
Jaks Resources memeterai dua PPA bagi loji jana kuasa solar berkapasiti 99.99 megawatt (MW) setiap satu di Merang, Terengganu melalui anak syarikatnya, JAKS CP Solar One Sdn. Bhd dan JAKS CPECC Solar Two Sdn. Bhd. Bagaimanapun, tarikh mula operasi komersial bagi kedua-dua projek itu tidak didedahkan.
Selain itu, SunPark (Pasir Panjang) Sdn. Bhd iaitu syarikat usaha sama 51:49 antara Sunview Group dan Cypark Resources, menandatangani PPA selama 21 tahun bagi projek loji solar berkapasiti 99.99MW di bawah program Petra 5+.
Projek yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan itu dijadualkan memulakan operasi komersial pada 29 Februari 2028.
WD Solar Kedah Sdn. Bhd pula iaitu syarikat usaha sama 70:30 antara Wawasan Dengkil dan Nestcon, turut memeterai PPA dengan TNB bagi pembangunan kemudahan solar di Pendang, Kedah. Tarikh operasi komersial projek tersebut juga tidak didedahkan.
Dari segi prestasi pasaran, saham Jaks Resources meningkat setengah sen atau 5.3% kepada 10 sen pada penutupan dagangan Jumaat, menjadikan permodalan pasaran kumpulan itu bernilai RM262.63 juta. Namun, saham tersebut telah susut 26% setakat tahun ini.
Saham Sunview turun setengah sen atau 1.3% kepada 37.5 sen dengan permodalan pasaran RM212.9 juta, merosot 16.7% sejak awal tahun.
Cypark Resources pula meningkat dua sen atau 2.9% kepada 72 sen, memberikan nilai pasaran RM592.44 juta, walaupun sahamnya telah menurun 16.8% setakat tahun ini.
Wawasan Dengkil menyusut setengah sen atau 2.7% kepada 18 sen, dengan nilai pasaran RM97.22 juta. Saham syarikat itu telah merosot 26% berbanding harga penyenaraian 25 sen pada 25 Mac lalu.
Saham Nestcon pula tidak berubah pada 33 sen, dengan permodalan pasaran RM249.55 juta, susut 21.4% setakat tahun ini. - DagangNews.com

