Yinson tandatangani PPA 15 tahun dengan Genesis Energy New Zealand

LocalBusiness & Finance
22 Dec 2025 • 4:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yinson tandatangani PPA 15 tahun dengan Genesis Energy New Zealand
image is not available
liza22/12/2025 - 16:37 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Dis – Yinson Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Mt Cass Wind Farm Limited telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement) selama 15 tahun dengan Genesis Energy Limited.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Yinson berkata melalui perjanjian tersebut, syarikat akan menjual tenaga elektrik yang dihasilkan dari ladang angin mereka di New Zealand terus kepada Genesis. 

 

“Ladang angin ini boleh menghasilkan tenaga sehingga 94.6 megawatt (MW) yang cukup untuk menyokong ribuan rumah dan perniagaan.

 

“Perjanjian itu dijangka bernilai kira-kira NZD500 juta, bersamaan RM1.2 bilion (mengikut kadar pertukaran NZD1:RM2.34).

 

“PPA ini akan bermula dari tarikh operasi komersial loji dan dijangka menyumbang kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan Yinson,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Operasi komersial loji angin Mt Cass dijangka bermula pada separuh kedua 2028. 

 

Yinson berkata projek ini selaras dengan strategi mereka untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui secara global.

 

Genesis Energy adalah penjana dan peruncit tenaga di New Zealand yang disenaraikan di Bursa Saham New Zealand dan Bursa Saham Australia. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Yinson Renewables ambil alih Ladang Angin Mt Cass 94.6MW di New Zealand

 

Syarikat ini menyediakan elektrik, gas asli dan LPG kepada lebih 520,000 pelanggan serta memiliki portfolio pelbagai aset tenaga terma dan boleh diperbaharui.

 

PPA ini membolehkan Yinson menjual elektrik yang dihasilkan daripada loji angin Mt Cass terus kepada Genesis untuk tempoh 15 tahun.

 

Langkah ini dijangka memberikan aliran pendapatan stabil dan meningkatkan daya saing kumpulan dalam sektor tenaga lestari.

 

Menurut Yinson, PPA ini tidak akan menjejaskan struktur modal atau pemilikan saham syarikat. Namun, ia dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan dan pertumbuhan kumpulan secara keseluruhan.

 

Antara risiko utama projek adalah kelewatan pelaksanaan dan risiko operasi dalam memastikan tahap penjanaan kuasa yang diperlukan oleh Genesis. 

 

Yinson yakin pengalaman dan kepakaran mereka dalam industri tenaga boleh diperbaharui, bersama kawalan dalaman dan pelan pelaksanaan projek, akan membantu mereka menangani dan mengurus sebarang risiko yang mungkin timbul.

 

Syarikat menegaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam PPA ini, memastikan integriti dan ketelusan transaksi.

 

Dengan PPA ini, Yinson memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama tenaga boleh diperbaharui, sambil menyokong usaha global untuk pengeluaran tenaga bersih dan lestari. - DagangNews.com

Terkini standard