Lima tahun bina jenama, Ashhry Atan kini tampil dengan restoran berinspirasikan Santorini

21 Jul 2026 • 7:38 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Lima tahun bina jenama, Ashhry Atan kini tampil dengan restoran berinspirasikan Santorini

BUKAN sekadar membuka sebuah lagi restoran, pempengaruh dan usahawan Ashhry Atan membuktikan bahawa impian yang pernah tertangguh boleh diterjemahkan menjadi satu pengalaman yang nyata.

Berinspirasikan keindahan Santorini yang tidak sempat dikunjunginya ketika pandemik, Ashhry kini membawa suasana pulau ikonik Greece itu ke tengah-tengah Johor Bahru menerusi pembukaan cawangan kedua Ashhryshoshedap R & F.

“Saya tak sempat ke Santorini, jadi saya bina suasana itu di sini supaya orang lain turut dapat merasainya.”

Langkah baharu itu menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat Ashhry, 36, selepas hampir lima tahun membina jenama Ashhryshoshedap dalam industri makanan dan minuman.

Restoran yang terletak di Princess Cove, Johor Bahru itu tampil dengan konsep Mediterranean Santorini menerusi gabungan rona biru dan putih yang memberi suasana santai, elegan dan cukup ‘Instagrammable’.

Menurut Ashhry, inspirasi tersebut sudah lama tersimpan dalam fikirannya. Malah, beliau sepatutnya berkunjung ke Santorini pada April 2020, namun impian itu terpaksa dilupakan apabila dunia dilanda pandemik COVID-19.

“Disebabkan impian itu tidak kesampaian, saya ambil inspirasi Santorini dan bawakan ke restoran ini. Saya mahu pelanggan bukan sekadar datang makan, tetapi menikmati pengalaman seolah-olah berada di sana,” katanya.

Image from: Lima tahun bina jenama, Ashhry Atan kini tampil dengan restoran berinspirasikan Santorini

Selain mengetengahkan konsep yang berbeza, cawangan baharu itu turut menawarkan pilihan menu lebih premium berbanding restoran pertama. Pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan seperti stik, wagyu, lobster dan makanan laut segar, di samping menu popular yang sudah sinonim dengan jenama Ashhryshoshedap.

Walaupun tampil dengan pilihan hidangan lebih eksklusif, harga makanan masih mesra pelanggan, bermula serendah RM20 hingga sekitar RM500 mengikut pilihan menu.

Ruang restoran itu pula mampu memuatkan kira-kira 100 pelanggan pada satu-satu masa, manakala cawangan pertamanya di Nongchik Riverside mempunyai kapasiti sekitar 300 pelanggan.

Bagi Ashhry, pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi cawangan kedua bukan sekadar strategi perniagaan, tetapi juga kerana hubungan sentimental dengan negeri kelahirannya.

“Saya anak jati Johor, berasal dari Kota Tinggi. Sejak hari pertama lagi, masyarakat Johor banyak menyokong jenama saya.

"Tambahan pula, Johor kini menjadi antara destinasi yang menerima kehadiran pelancong dan pengunjung yang tinggi. Saya mahu terus mengembangkan jenama ini di negeri sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berharap perjalanan perniagaannya mampu memberi suntikan semangat kepada lebih ramai anak muda untuk berani mencuba bidang keusahawanan.

“Saya percaya usia bukan penghalang untuk berjaya. Pada usia 36 tahun, saya bersyukur dapat membuka cawangan kedua ketika jenama ini menghampiri ulang tahun kelima.

"Saya mahu membuktikan bahawa anak muda juga mampu membina empayar perniagaan sendiri jika berani bermula,” katanya.

Image from: Lima tahun bina jenama, Ashhry Atan kini tampil dengan restoran berinspirasikan Santorini

Mengakui industri restoran di Johor semakin kompetitif, Ashhry bagaimanapun optimis konsep unik yang menggabungkan pengalaman menjamu selera, suasana ala Mediterranean dan variasi menu mampu menjadi tarikan tersendiri.

Untuk rekod, cawangan kedua Ashhryshoshedap R & F kini beroperasi di Princess Cove, Jalan Tanjung Puteri, Johor Bahru, manakala restoran pertamanya terletak di Nongchik Riverside, Johor Bahru.

Jenama Ashhryshoshedap sebelum ini turut menerima pengiktirafan sebagai Johor The Best Restaurant 2025.

Antara menu yang menjadi kegemaran pelanggan ialah hidangan berasaskan telur masin seperti nasi dan spageti telur masin, asam pedas ikan pari serta pencuci mulut unik yang dikenali sebagai 'Kura-Kura Mencintaimu'.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved