
JOHOR BAHRU - Lima individu termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan selepas Jambatan Permas Jaya, menghala ke Masai, pada Ahad.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan 1 Khas Untuk Penyandang (KUP), Mohd Yusri Atan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.11 malam.
“Sebaik menerima panggilan, pasukan bomba yang terdiri daripada satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Perkhidmatan Penyelamatan, Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan 10 anggota dihantar ke lokasi,” katanya.
Beliau berkata, setibanya di lokasi pada jam 10.23 malam, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori satu tan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Sienta.
“Tiada mangsa tersepit, namun sebelum bomba tiba, orang awam telah membawa seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak ke hospital,” katanya.
Menurut Mohd Yusri, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa lain sebelum menghantar seorang lelaki dewasa dan seorang lagi kanak-kanak ke hospital menggunakan jentera EMRS, sementara seorang lagi wanita dewasa dibawa ke hospital menaiki ambulans.
"Mangsa yang cedera terdiri daripada tiga warga Singapura dan seorang warga Indonesia, manakala pemandu lori yang merupakan warga tempatan tidak cedera.
"Pasukan bomba turut membersihkan kawasan kemalangan menggunakan aliran salur bantu mula sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.02 malam," katanya.


