Lima warga emas parah, 16 lagi cedera bas persiaran terbabas turun bukit

18 Nov 2026 • 6:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lima warga emas parah, 16 lagi cedera bas persiaran terbabas turun bukit
Keadaan bas persiaran selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Kimanis-Keningau.

 

PAPAR - [DIKEMAS KINI] Lima penumpang warga emas parah manakala 16 lagi cedera ringan selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas ketika menuruni bukit dalam kejadian di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, kesemua 21 individu termasuk pemandu bas tersebut dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Labuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 tengah hari.

Katanya, seramai enam anggotanya dibantu dua anggota BBP Papar dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 25 kilometer dari BBP Kimanis.

"Kejadian melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 20 penumpang. Berdasarkan maklumat awal, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan.

"Pasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat serta memberikan bantuan kepada mangsa yang terlibat," katanya dalam kenyataan.

Nelson berkata, sebaik tiba dilaporkan terdapat mangsa tersepit di dalam bas tersebut.

"Bagaimanapun, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba manakala 16 mangsa lagi hanya mengalami kecederaan ringan.

"Lima mangsa yang parah melibatkan dua lelaki berusia 71 dan 64 tahun yang mengalami kecederaan bahagian kepala, dada, bahu dan patah tangan serta bengkak.

"Sementara itu, tiga lagi wanita berusia antara 60 hingga 64 tahun masing-masing cedera bahagian dada, kepala, patah kaki dan patah jari," katanya.

Susulan kejadian itu, Nelson berkata, pihaknya bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum mereka dihantar ke hospital.

"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 2.55 petang selepas anggota kita memastikan tiada bahaya lain di lokasi tersebut," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved