Limpahan air Sungai Binjai turut bawa tanah merah

LocalEnvironment
23 Nov 2026 • 7:42 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Limpahan air Sungai Binjai turut bawa tanah merah

PETALING JAYA: Sungai Binjai di Meru, Klang didakwa tidak lagi mampu menampung lebihan air hujan lebat susulan kewujudan aktiviti pembinaan termasuk sebuah kawasan perkuburan di Setia Alam.

Aliran berterusan dari kolam tadahan di tapak berkenaan ketika hujan lebat dikatakan memenuhi sungai tersebut bersama lumpur atau tanah merah ke kawasan perumahan sekitar Jalan Hamzah Alang, Jalan Sebaya dan Jalan Cempaka.

Banjir sedemikian didakwa sudah pun lebih 10 kali berlaku dalam tempoh setahun selepas air di dalam parit-parit kawasan perumahan dipenuhi air selepas paras Sungai Binjai melebihi tahap biasa.

Penduduk Kampung Meru, Anas Syakirin Azman, 26, berkata, banjir kali ini berbeza apabila limpahan air turut membawa tanah merah sehingga meninggalkan mendapan lumpur di jalan raya dan kediaman penduduk.

“Meru sememangnya kawasan rendah berbanding kawasan sekitarnya, jadi air akan mengalir ke sini. Disebabkan berlaku pembinaan termasuk di Bukit Kapar, kawasan yang lebih tinggi di Meru turut dilanda banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, akhir-akhir ini banjir lebih kerap berlaku walaupun hujan lebat dalam tempoh yang singkat, namun ia mengambil masa antara empat hingga lima hari untuk surut.

Sementara itu, penduduk Taman Daya Maju, Zul Izzi Abdul Halim, 41, berkata, kawasan perumahan itu mula mengalami kejadian banjir berulang sejak bah 2021 yang menenggelamkan sebahagian besar rumah di sana.

“Antara kawasan terjejas termasuk Taman Daya Maju, Taman Daya Meru, Jalan Cempaka, Jalan Dahlia dan Kampung Budiman. Banjir berlaku antara lapan hingga 10 kali setahun.

“Meskipun pelbagai usaha seperti mengorek parit, memasang pam dan meninggikan jalan masuk ke taman sudah dilaksanakan, namun, banjir masih berulang sehingga kawasan perumahan kami seolah-olah menjadi pulau akibat air yang bertakung dan sukar surut,” tegasnya.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini dilapor memaklumkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Binjai yang selesai dilaksanakan berjaya mengurangkan risiko banjir di kawasan itu apabila hanya sekali pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka tahun ini.

Menurutnya, kebiasaan sebelum ini PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dibuka sekurang-kurangnya dua kali setahun, malah pernah mencecah empat hingga lima kali dalam tempoh setahun.

Dalam pada itu, Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, antara penyelesaian jangka panjang ialah mewajibkan sistem takungan air hujan bagi bangunan baharu dan penggunaan bahan serap air di kawasan luar.

Selain itu, pembangunan perlu dilarang di kawasan takungan semula jadi, manakala sekurang-kurangnya lima peratus kawasan perumahan perlu diperuntukkan sebagai kawasan hijau. – UTUSAN

The post Limpahan air Sungai Binjai turut bawa tanah merah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved