Projek tebatan banjir Batu Tiga mula tunjuk keberkesanan ketika hujan

LocalEnvironment
23 Nov 2026 • 12:34 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Projek tebatan banjir Batu Tiga mula tunjuk keberkesanan ketika hujan

SHAH ALAM, 23 NOV: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga mula menunjukkan keberkesanan apabila sistem kolam tadahan dan pam air berfungsi dengan baik ketika hujan lebat minggu lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkata perkembangan positif itu direkodkan meskipun kawasan berkenaan menerima taburan hujan sebanyak 114.5 milimeter.

Menurutnya, infrastruktur tebatan banjir yang masih dalam pembinaan itu membantu mengawal aliran air dan mengurangkan risiko limpahan ke kawasan kediaman penduduk.

"Perkembangan ini sedikit sebanyak turut memberikan kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini sering berdepan kebimbangan setiap kali hujan lebat berpanjangan.

"Walaupun projek ini masih belum siap sepenuhnya, sebahagian besar komponen infrastruktur tebatan telah menunjukkan keberkesanannya, khususnya ketika kawasan ini menerima hujan lebat pada minggu lalu," katanya kepada Media Selangor.

Mengulas perkembangan projek, Danial berkata pembinaan benteng konkrit sepanjang 750 meter dan struktur pengukuh sepanjang 290 meter telah siap, manakala kerja lain masih diteruskan.

Projek itu turut melibatkan pembinaan sangkar gabion, ban tanah dan saluran keluar air bagi memperkukuh sistem tebatan banjir.

"Paras air tertinggi sebelum ini mencecah kira-kira enam meter, manakala struktur tebatan yang dirancang termasuk struktur pengukuh mempunyai ketinggian sekitar lapan meter.

"Perbezaan ketinggian itu menyediakan lebihan ruang keselamatan sekitar 1.5 hingga dua meter sekiranya paras air meningkat," katanya.

Bagaimanapun, Danial menegaskan projek itu masih berjalan dan belum dapat menyelesaikan masalah banjir sepenuhnya.

Katanya, baki kerja perlu disiapkan mengikut spesifikasi teknikal, selain memastikan sistem tebatan dan saliran diselenggara dengan baik.

Beliau turut menghargai kerjasama Kerajaan Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan dalam usaha mengurangkan risiko banjir di DUN Batu Tiga.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved