Limpahan ekonomi ke Pantai Timur

LocalBusiness & Finance
30 May 2026 • 9:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Limpahan ekonomi ke Pantai Timur
Dalam tempoh tiga tahun akan datang transformasi besar akan berlaku kepada negeri-negeri di Pantai Timur yang bakal mempunyai jaringan pengangkutan lebih baik dan selesa. Foto hiasan - Bernama

SUDAH menjadi lumrah pada setiap tahun saya pulang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung sebelah isteri yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Kalau jalan lancar, laluan sepanjang 440 kilometer (km) hanya mengambil masa enam jam tetapi kalau sesak teruk boleh ambil masa lebih dari 15 jam.

Bagi orang Kelantan, kesesakan seperti itu adalah perkara biasa dan sudah menjadi sebahagian daripada kemeriahan terutama menyambut hari raya.

Namun dalam perjalanan saya pada kali ini saya merasakan perubahan besar akan berlaku kepada negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan antara Bentong, Pahang hingga ke Kuala Krai, Kelantan, nampaknya begitu rancak.

Ini selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menjangkakan LTU dapat disiapkan menjelang tahun 2028.

Kata beliau, projek lebuh raya bernilai RM7.7 bilion sepanjang 299.4km itu merangkumi 26 pakej pembinaan, di mana 14 daripadanya telah siap manakala 11 lagi masih dalam pembinaan.

Begitu juga dengan Projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBBKK) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Lebuh raya sepanjang 66.88 kilometer dengan kos RM2.33 bilion itu dipecahkan kepada tujuh pakej menghubungkan bandar Kota Bharu ke Kuala Krai sebelum bersambung dengan projek LTU.

Ada satu lagi perkara besar yang akan mengubah landskap Pantai Timur iaitu projek rel mega yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia iaitu East Coast Rail Link (ECRL).

ECRL merangkumi jajaran sepanjang 665 km bermula dari Kota Bharu merentasi Terengganu dan Pahang, sebelum berakhir di Lembah Klang. Ia dijadualkan siap secara berperingkat menjelang akhir 2026 dan berupaya memendekkan masa perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak kepada kira-kira empat jam sahaja.

Ini bererti dalam tempoh tiga tahun akan datang transformasi besar akan berlaku kepada negeri-negeri di Pantai Timur yang bakal mempunyai jaringan pengangkutan yang lebih baik dan selesa.

Harapan kita ialah dengan usaha tersebut ia bakal membuka peluang ekonomi yang lebih besar dan boleh menarik lebih banyak pelaburan, industri serta peluang pekerjaan ke negeri itu.

Dengan jarak yang semakin dekat dan pantas, ECRL akan menghubungkan Kota Bharu dengan kawasan ekonomi utama seperti Kuantan, Lembah Klang dan Pelabuhan Klang.

Ini membolehkan produk pertanian, makanan, perikanan dan perusahaan kecil dari Kelantan dipasarkan dengan lebih cekap ke pasaran yang lebih besar.

Kewujudan stesen ECRL dan persimpangan lebuh raya biasanya menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar baharu, kawasan perniagaan, perumahan dan industri. Kawasan yang sebelum ini kurang membangun berpotensi menjadi hab ekonomi baharu.

Sekarang kita serahkan kepada kebijaksanaan pemimpin yang akan mencorakkan masa depan untuk negeri Kelantan.

Menjelang tiga tahun akan datang, kerajaan negeri sudah boleh merancang program-program untuk merancakkan ekonomi dengan adanya kemudahan logistik yang lebih baik.

Jangan dibiarkan kemudahan yang ada sekadar hiasan semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan katalis bagi mengubah kehidupan rakyat menjadi lebih baik pada masa depan.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian