Limpahan rezeki F1 Sepang

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Limpahan rezeki  F1 Sepang

Perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru saja melabuhkan tirainya Ahad lalu dengan kehadiran luar biasa peminat dari seluruh dunia selepas sembilan tahun ‘venue ‘ tersebut hilang dari peta acara berprestij itu.

Jumlah penonton yang datang ke litar adalah sekitar 261,000 orang, rekod kehadiran tertinggi di SIC, mengatasi rekod tertinggi sebelum ini 126,690 penonton pada 2008.

Ini membuktikan sukan permotoran bertaraf dunia itu masih mempunyai tarikan kuat dalam kalangan peminat termasuk rakyat tempatan terutama daripada anak muda berusia 30 tahun ke bawah.

Biarpun acara pada kali ini dilihat sedikit kalut pada awalnya tetapi masalah itu dapat ditangani segera secara profesional dan berjalan lancar.

Apa lebih menarik ialah penganjuran kali ini dilihat lebih memberi impak signifikan kepada ekonomi penduduk setempat yang mendapat manfaat secara langsung biarpun penganjurannya hanya tiga hari.

Penulis sempat minum petang dengan seorang kawan lama yang menjadi pemandu p-hailing secara separuh masa Ahad lalu di sebuah gerai di Kampung Labu Lanjut, Sepang selepas hampir tiga tahun tidak bersua muka.

Dia mengatakan mendapat limpahan rezeki berlipat kali ganda dengan menghantar peminat tegar F1 dari pelbagai lokasi ke Litar Sepang dan mengambil mereka semula selepas habis acara.

Tanpa memperincikan jumlah yang diperoleh, namun rakan tersebut hanya memberitahu rezekinya sekitar empat atau lima kali ganda sehari berbanding hari-hari biasa sebelum ini.

Itu baru seorang pemandu p-hailing yang bergerak secara separuh masa, bayangkan kalau mereka yang menjalankan operasi sepenuh masa, lagi ‘lebat kantung’ mereka sepanjang penganjuran F1.

Satu lagi kisah menarik di sebalik keriuhan pengunjung di kawasan litar, para ‘rider’ turut mengambil kesempatan daripada limpahan rezeki tersebut dengan melakukan khidmat mengambil dan menghantar penumpang dari tempat parkir ke lokasi litar dan sebaliknya.

Terpancar cahaya kegembiraan daripada riak wajah ‘rider-rider’ terbabit kerana upah diterima bukan dikatakan agak lumayan jika hendak dibandingkan dengan melakukan kerja-kerja ‘rider’ biasa seperti sebelum ini.

Ada yang tanpa berselindung memberitahu pendapatan diperoleh dapat membayar ansuran kereta untuk sebulan.

Bagaimanapun perkhidamatan motosikal ala ‘gojek’ ini tidak bertahan lama kerana mereka yang terlibat ditahan pihak berkuasa kerana aktiviti tersebut adalah haram dan menyalahi undang-undang pengangkutan awam Malaysia serta berisiko tinggi jika berlaku kemalangan.

Lagi satu limpahan rezeki diperoleh pengusaha kedai makan dan restoran di kawasan berhampiran SIC seperti di Kampung Labu Lanjut, Kampung Ghicing, Kampung Jijan dan sebagainya yang berbangga menerima tetamu ‘mat saleh’ sepanjang penganjuran F1 tersebut.

Jika inilah yang terjadi, ada baiknya kerajaan berusaha mendapatkan kembali hak penganjuran F1 ke Litar Sepang biarpun mahal untuk dianjurkan, tetapi sekurang-kurangnya dompet rakyat bawahan boleh ‘bernafas’ lega di sebalik kehidupan yang semakin keras pada masa ini.

The post Limpahan rezeki F1 Sepang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved