
Menjalani latihan jitu selama dua tahun, enam gadis cantik dan berbakat bergabung membentu kumpulan M-pop, Wandted kini bersedia untuk berjuang dalam persada hiburan tempatan.
Kata anggota kumpulan Wandted, Aela, mereka telah rutin latihan vokal, tarian, penataan gaya dan skil komunikasi di bawah bimbingan guru seperti dilalui grup K-pop sebelum tampil dengan single pertama berjudul Cinderella.
"Kami melalui tapisan ketat sebelum diserap sebagai tunjang Wandted sekitar 2020 termasuk menyertai kem latihan di bawah bimbingan tenaga pengajar profesional.
"Walaupun mempunyai asas vokal serta tarian dan kemudian digabungkan dalam Wandted yang sememangnya landasan untuk kami memperjuangkan muzik M-pop.
"Namun asas saja tidak mencukupi, kerana umpama ke medan perang, kita perlu bersedia dari segi strategi, latihan serta senjata lengkap.
"Disebabkan itu syarikat pengurusan mewajibkan kami memasuki kem latihan selama dua tahun meliputi pemantapan vokal, tarian, komunikasi, penjagaan imej serta aspek utama lain
"Apabila single Cinderella ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh dilancarkan bermakna Wandted sudah bersedia menyahut cabaran menembusi arena muzik," katanya.
Selain Aela, kumpulan yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Echovibes Communications dan Civicas Networks turut membariskan Bell, Rae, Ann, Rika dan Deanna.
