sarah28/10/2026 - 09:50 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt - Lion Industries Corporation Berhad (Lion Industries) menggantung pengeluaran komersial keluli rata (flat steel) di kilangnya di Banting, Selangor, susulan keadaan pasaran keluli tempatan dan global yang sangat mencabar.
Menurut kumpulan itu, keputusan tersebut dibuat ketika industri keluli terus berdepan lebihan kapasiti pengeluaran, persaingan sengit, turun naik harga bahan mentah serta pertumbuhan permintaan yang perlahan dalam pasaran utama.
Dalam Laporan Tahunan 2026, Lion Industries berkata, industri keluli Malaysia, khususnya segmen keluli panjang, terus mengalami ketidakseimbangan struktur antara penawaran dan permintaan yang memberikan tekanan kepada harga jualan serta margin keuntungan pengeluar tempatan.
"Berikutan keadaan pasaran keluli yang sangat mencabar di peringkat tempatan dan global, kumpulan telah menggantung pengeluaran komersial kilang keluli rata yang terletak di Banting," menurut kumpulan itu dalam bahagian Perbincangan dan Analisis Pengurusan.
Kumpulan itu menjelaskan bahawa walaupun aktiviti pembinaan dan pembangunan infrastruktur terus menyokong permintaan keluli panjang, tahap permintaan pasaran masih belum mencukupi untuk menyerap lebihan kapasiti pengeluaran sedia ada.
Menurut laporan itu, bahagian keluli Lion Industries mencatatkan hasil sebanyak RM1.02 bilion dan kerugian segmen RM144.5 juta bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2026.
Secara keseluruhan, kumpulan merekodkan kerugian bersih RM211.08 juta dengan hasil RM1.73 bilion bagi tempoh berkenaan, berbanding kerugian RM84.91 juta dan hasil RM1.66 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Bagaimanapun, kedua-dua tempoh pelaporan itu tidak boleh dibandingkan secara langsung kerana Lion Industries telah menukar tarikh penutupan tahun kewangannya daripada 31 Disember kepada 30 Jun, menjadikan tempoh pelaporan terkini meliputi 18 bulan berbanding 12 bulan sebelumnya.
Lion Industries teliti penyusunan semula aset keluli
Bagi menghadapi cabaran industri, kumpulan sedang meneroka usaha penstrukturan semula pelaburan dalam aset keluli, termasuk perbincangan dengan pemain industri yang berpotensi untuk melabur semula dan memulakan semula operasi kilang melalui usaha sama.
Pada masa sama, Lion Industries turut mengambil langkah menjana tunai daripada aset perniagaan keluli, termasuk tanah, kilang yang tidak beroperasi dan mesin, bagi meningkatkan kedudukan kecairan kumpulan.
Kumpulan itu bagaimanapun mengingatkan bahawa usaha mendapatkan rakan usaha sama masih dalam peringkat perbincangan dan tiada jaminan sebarang perjanjian akan dimuktamadkan.
Dalam prospek perniagaannya, Lion Industries menjangkakan industri keluli tempatan terus berdepan tekanan daripada persaingan import, ketidaktentuan harga keluli, kos tenaga yang tinggi serta turun naik harga bahan mentah, sekali gus mendorong kumpulan memberikan tumpuan kepada kecekapan operasi dan pengurusan kos. - DagangNews.com


