
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Jun tahun depan bagi pengurusan kes semakan kehakiman Badan Peguam yang mencabar keputusan pendakwa raya menghentikan 47 pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akalbudi.
Mahkamah menetapkan tarikh itu sementara menunggu prosiding rayuan Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri, didengar di Mahkamah Persekutuan.
Hakim S. Indra Nehru menetapkan tarikh itu dalam dijalankan secara e-review di hadapan timbalan pendaftar.
Terdahulu, peguam Abhilaash Subramaniam yang mewakili Badan Peguam memaklumkan, kedua-dua responden telah memperoleh kebenaran merayu dari Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober lalu.
Menurut beliau, setakat ini tarikh pendengaran merit rayuan belum ditentukan dan akan mengambil masa beberapa bulan.
Katanya, proses rayuan itu dijangka mengambil masa termasuk untuk melengkapkan rekod rayuan dan pemfailan hujahan bertulis.
“Kami mohon tarikh pendengaran semakan kehakiman (di Mahkamah Tinggi), didengar selepas prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai,” ujarnya.
Sementara Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar yang mewakili Peguam Negara, bersetuju dengan cadangan itu, manakala peguam Datuk Guok Ngek Seong yang mewakili Ahmad Zahid turut memaklumkan tiada bantahan.
Pada 8 Oktober lalu, Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjaya dalam permohonan memperoleh kebenaran merayu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman berhubung prosiding pendakwaan dalam kes Yayasan Akalbudi.
Ia berikutan apabila keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Hashim Hamzah membenarkan permohonan kebenaran merayu selain mendapati kes berkenaan membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam.
Dalam mana-mana kes sivil, pihak-pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh berbuat demikian.
Semasa penghakiman ketika membenarkan permohonan itu, Hakim Hashim berkata, persoalan berkenaan memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.
“Kes ini berkaitan ambang untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman apabila budi bicara pendakwaan Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dicabar,” katanya.
Dua lagi hakim yang turut ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi memberikan Ahmad Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara mahu memberhentikan prosiding terhadapnya.
Bagaimanapun, Badan Peguam kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara. – KOSMO! ONLINE
The post Badan Peguam cabar keputusan henti 47 pertuduhan Ahmad Zahid, Jun 2027 appeared first on Kosmo Online.






