Lion Parcel mahu cipta lebih banyak peluang penghantaran rentas sempadan

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 5:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lion Parcel mahu cipta lebih banyak peluang penghantaran rentas sempadan

PETALING JAYA – Lion Parcel, penyedia perkhidmatan logistik terkemuka yang
berpangkalan di Indonesia, telah membuka pejabat antarabangsa pertamanya di Subang
Jaya.

Ini adalah langkah pertama Lion Parcel memasuki pasaran antarabangsa dan memperkukuhkan hubungan logistik antara Malaysia, Indonesia dan pasaran antarabangsa lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Lion Parcel, Farian Kirana berkata,  Malaysia dipilih sebagai pasaran pertama dalam jaringan pasaran antarabangsa Lion Parcel kerana kedudukannya yang strategik sebagai hab serantau.

Menurut beliau, melalui kehadirannya di negara ini, Lion Parcel berhasrat untuk mencipta lebih banyak peluang untuk memenuhi keperluan penghantaran rentas sempadan buat perniagaan dan komuniti, selain menghubungkan Malaysia dengan Indonesia serta pasaran antarabangsa yang lain.

“Malaysia menjadi langkah awal penting dalam perjalanan antarabangsa Lion Parcel. Kami melihat
peluang untuk memperluas akses kepada rangkaian dan hubungan logistik bagi perniagaan serta
komuniti, sekali gus membantu mereka menggerakkan barangan dengan lebih cekap merentasi
pasaran dan mencapai peluang yang lebih luas.

“Kehadiran Lion Parcel bukan sekadar sebagai penyedia perkhidmatan logistik, tetapi juga sebagai pemangkin ekosistem yang menghubungkan perniagaan dengan lebih banyak peluang seiring perkembangan perdagangan mereka,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran pejabat terbaharu syarikat di negara ini.

Image from: Lion Parcel mahu cipta lebih banyak peluang penghantaran rentas sempadan

Kehadiran Lion Parcel di Malaysia disokong oleh ekosistem Lion Group, merangkumi udara melalui
Batik Air Malaysia, yang kini menghubungkan lebih 60 destinasi di 20 negara, meliputi pasaran utama
di Asia Tenggara, China, India, Australia serta destinasi serantau yang lain.

Menurut Farian, kemasukan ke pasaran Malaysia turut mencerminkan komitmen Lion Parcel untuk
terus berkembang sambil mengekalkan pendekatan kolaboratif.

“Kami percaya syarikat-syarikat dalam industri logistik boleh membangun bersama. Setiap pemain mempunyai peranan dalam membangunkan perkhidmatan logistik yang lebih baik.

“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pemain industri dan rakan kongsi di Malaysia kerana pertumbuhan industri akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk semua pihak,” jelasnya.

Selain itu, Ketua Lion Parcel Malaysia, Alvin Williams memaklumkan bahawa, syarikat
melihat Malaysia bukan sekadar sebuah pasaran yang penting, malah sebagai lokasi strategik dalam
landskap logistik serantau yang sentiasa berevolusi.

“Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan hubungan logistik serantau, khususnya
dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terus mengukuhkan
kedudukannya sebagai hab serantau bagi kargo udara dan hab transit.

“Bagi kami, ini mewujudkan peluang untuk menghubungkan perkhidmatan logistik dengan rangkaian kargo udara yang lebih meluas dan seterusnya, menyokong kelancaran pergerakan barangan di antara Malaysia, Indonesia, dan pasaran antarabangsa yang lain,” jelasnya.

Tambah beliau, berlandaskan kesalinghubungan tersebut, Lion Parcel Malaysia menyasarkan untuk melengkapi infrastruktur udara dan kargo sedia ada dengan menghubungkan perkhidmatan penghantaran kepada rangkaian logistik yang lebih luas.

Kini, Lion Parcel menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan B2B dan runcit, meliputi penghantaran antarabangsa ke pelbagai destinasi melalui rangkaian penerbangan Lion Group. -KOSMO! ONLINE

 

The post Lion Parcel mahu cipta lebih banyak peluang penghantaran rentas sempadan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved