Liputan Internet Di Malaysia Capai 98.8% Di Kawasan Berpenduduk Setakat Julai 2025

Digital
14 Aug 2025 • 2:08 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Memetik kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, kadar liputan internet di kawasan berpenduduk di Malaysia telah mencapai 98.82% setakat penghujung Julai 2025. Ini mencerminkan kemajuan ketara dalam usaha kerajaan memperluas akses digital kepada rakyat di seluruh negara.

image is not available

Digital Nasional Berhad (DNB) telah menyiapkan sebanyak 74,489 tapak pemancar bagi menyokong pelaksanaan rangkaian 5G sekali gus menyediakan 82.4% liputan di kawasan berpenduduk. Jumlah langganan rangkaian 5G kini melebihi 28 juta pengguna dengan kadar penembusan jalur lebar mudah alih mencecah 82.7% bagi setiap 100 penduduk.

Di kawasan luar bandar seperti Sungai Burong, Sekinchan dan Permatang Gahmi Berjaya, kadar liputan internet dan komunikasi telah mencapai 99.75%. Sungai Besar pula mencatatkan kadar liputan tertinggi iaitu 99.9%. Rangkaian 5G kedua yang dikendalikan oleh U Mobile turut telah mula beroperasi sejak 14 Julai 2025. Sebanyak 1232 tapak dinaik-taraf bagi menyokong pelaksanaan liputan 5G melalui rangkaian tersebut.

Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperluaskan akses digital kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar selaras dengan usaha mengukuhkan infrastruktur komunikasi negara.