Live Minum Air Bulan Ramadan, Wanita Ditahan JHEAINS

LocalPolitics
25 Feb 2026 • 7:17 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA PILAH – Tindakan seorang wanita Muslim membuat siaran langsung di media sosial sambil makan dan minum secara terbuka pada bulan Ramadan mengundang padah apabila dia ditahan pihak berkuasa agama bagi membantu siasatan.

Video berkenaan mula tular sejak 23 Februari lalu, memaparkan wanita itu secara terbuka memaklumkan dia tidak berpuasa malah menyatakan rasa bangga dengan tindakannya walaupun ditegur warganet supaya menghormati sensitiviti masyarakat Islam.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Asri Abdullah berkata pihaknya memandang serius kandungan tersebut yang didakwa menghina atau mencela agama Islam.

Menurut beliau, siaran langsung itu dibuat pada Ahad kira-kira jam 6.45 petang menerusi akaun TikTok milik wanita berusia 27 tahun terbabit untuk berinteraksi bersama pengikutnya.

Ditahan Di Kediaman

Wanita berkenaan ditahan di kediamannya di Kuala Pilah kira-kira jam 12 tengah hari, Selasa sebelum dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 berkaitan kesalahan menghina atau mencela agama Islam.

Bagaimanapun, wanita itu dilepaskan kira-kira jam 10 malam pada hari sama selepas keterangannya selesai diambil.

JHEAINS Nasihat Hormati Ramadan

Dalam pada itu, Mohd Asri menasihatkan orang ramai khususnya umat Islam agar sentiasa peka terhadap sensitiviti agama serta menghormati kesucian bulan Ramadan.

Beliau menegaskan JHEAINS komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di Negeri Sembilan diurus dengan tertib, penuh hikmah serta berlandaskan syariat Islam dan undang-undang yang berkuat kuasa. – The Malaysian Update

The post Live Minum Air Bulan Ramadan, Wanita Ditahan JHEAINS appeared first on The Malaysian Update.