Liverpool kembali rancak ‘pikat’ Mbappe

FootballSports
9 Oct 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Liverpool kembali rancak ‘pikat’ Mbappe

LONDON: Liverpool dilaporkan mula merangka langkah besar untuk membawa Kylian Mbappe ke Anfield apabila mengadakan perbincangan awal dengan wakil penyerang Real Madrid itu menjelang kemungkinan perpindahan pada 2027.

Menurut wartawan Sepanyol, Francois Gallardo, pihak Liverpool sudah menghubungi ibu yang juga ejen Mbappe, Fayza Lamari dalam beberapa minggu kebelakangan ini bagi meninjau peluang mendapatkan bintang Perancis berkenaan.

Laporan tersebut sekali gus menghidupkan semula spekulasi yang pernah mengaitkan Mbappe dengan Liverpool sebelum dia memilih menyertai Real Madrid secara percuma daripada Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas 2024.

Sejak tiba di Santiago Bernabeu, pemain berusia 27 tahun itu terus membuktikan ketajamannya apabila meledak 94 gol dan mencipta 14 bantuan jaringan dalam 111 penampilan dalam semua pertandingan.

Namun begitu, pencapaian individu cemerlang itu masih belum diterjemahkan kepada kejayaan terbesar buat Real Madrid apabila kelab gergasi Sepanyol tersebut gagal memenangi LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah dalam dua musim terakhir.

Situasi itu, ditambah dengan dakwaan mengenai keserasian yang belum terbentuk antara Mbappe dan Vinicius Junior dan ia mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai masa depannya di ibu kota Sepanyol.

Gallardo mendakwa Liverpool muncul destinasi pilihan pemain tersebut sekiranya dia memutuskan untuk meninggalkan Real dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris berminat dengan Kylian Mbappe, tetapi keutamaannya adalah Liverpool.

“Mereka sudah menghubungi Fayza Lamari dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Mbappe tidak merasakan dirinya disayangi atau mendapat sokongan dalam bilik persalinan Real Madrid dan keadaan itu membuatkannya tidak selesa.

“Yuran perpindahan dianggarkan antara 200 juta hingga 250 juta euro,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan pada nilai tertinggi 250 juta euro (RM1.23 bilion), Mbappe bakal muncul sebagai pemain termahal dalam sejarah bola sepak dunia. – AGENSI/UTUSAN

The post Liverpool kembali rancak ‘pikat’ Mbappe appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved