LKIM simpan stok ikan untuk tampung bekalan ketika musim monsun

LocalBusiness & Finance
28 Nov 2026 • 12:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: LKIM simpan stok ikan untuk tampung bekalan ketika musim monsun

BUKIT GANTANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diarahkan menyimpan stok ikan bagi menampung keperluan pengguna sekiranya bekalan terjejas ketika musim monsun.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah yang diambil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu membolehkan stok berkenaan digunakan apabila diperlukan.

Katanya, bekalan ikan di seluruh negara ketika ini masih mencukupi walaupun angin kencang dan air pasang besar membataskan kegiatan menangkap ikan di beberapa kawasan, terutama melibatkan nelayan Zon A.

“Nelayan Zon B, C dan C2 masih dapat meneruskan kegiatan menangkap ikan. Setakat hari ini, nelayan masih boleh ke laut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Negeri Perak di Pejabat Penghulu Mukim Matang di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata, kadar sara diri ikan negara sudah mencecah 90 peratus, manakala kira-kira 10 peratus lagi diimport bagi memenuhi keperluan domestik.

Menurutnya, penerusan subsidi minyak membantu nelayan terus turun ke laut, manakala bantuan peralatan seperti enjin dan tong ikan kepada nelayan B40 yang masih aktif bertujuan meningkatkan hasil tangkapan.

Mengenai ketirisan diesel, beliau berkata, LKIM boleh menggantung atau membatalkan kelayakan subsidi minyak nelayan yang didapati melanggar peraturan, termasuk memindahkan diesel bersubsidi daripada bot Zon C ke bot Zon C2.

Katanya, diesel bersubsidi perlu disimpan di dalam tangki bot dan tindakan memindahkan baki minyak ke dalam tong juga merupakan satu kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata, permohonan lesen penangkapan ikan Zon A dibuka semula tertakluk pada kekosongan kuota, antaranya berikutan kematian pemegang lesen atau pembatalan lesen.

Katanya, dengan lebih 40,000 nelayan Zon A di seluruh negara, pengeluaran lesen perlu dikawal bagi memelihara sumber perikanan dalam lingkungan lima batu nautika dari pantai serta menjaga pendapatan nelayan sedia ada. – UTUSAN

The post LKIM simpan stok ikan untuk tampung bekalan ketika musim monsun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved