
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa memantau harga dan bekalan barangan keperluan bagi memastikan kestabilan pasaran terus terpelihara, termasuk sepanjang musim tengkujuh dan ketika berlaku bencana.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemantauan itu dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya ketika bencana bagi memastikan bekalan barangan mencukupi serta harga kekal terkawal. Menurutnya, persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan turut dilaksanakan lebih awal menerusi Jawatankuasa Penstabilan atau Pemantauan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Rakyat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN.
Katanya, jawatankuasa itu bermesyuarat setiap dua bulan dengan membabitkan agensi dan kementerian berkaitan bagi meneliti perkembangan bekalan serta harga barangan, termasuk kemungkinan gangguan akibat bencana.
“Persediaan ini bukan hanya bersifat reaktif apabila bencana berlaku, sebaliknya turut mengambil kira jangkaan awal bagi memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi. Sebagai contoh, Kementerian Pertanian bertanggungjawab memastikan bekalan makanan mencukupi.
“Manakala KPDN akan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi banjir untuk pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan program jualan lain bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi serta harga barangan kekal terkawal.
“KPDN juga akan bekerjasama dengan pengusaha kedai runcit, peruncit dan pemborong di kawasan berisiko bagi membolehkan mereka menyimpan stok tambahan barangan kawalan sebagai persediaan menghadapi bencana,” katanya pada sidang media sempena Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir Peringkat Negeri Sabah, di sini, Sabtu.
Mengulas kemungkinan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Barangan Keperluan sepanjang musim monsun, Armizan berkata perkara itu bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa kerana ketika banjir, keutamaan bukan semata-mata berkaitan harga barangan, sebaliknya memastikan bekalan keperluan dapat disampaikan kepada penduduk terjejas.
“Kadang-kadang musim monsun bukanlah isu harga barangan kerana ada kawasan yang dilanda banjir sehingga penduduk tidak boleh keluar untuk membeli barang. Jadi, keutamaan kita ketika itu adalah menyampaikan bekalan kepada mangsa banjir.
“Bagaimanapun, KPDN akan sentiasa memberi perhatian kepada keperluan penduduk selepas banjir menerusi pelaksanaan PJRM pascabencana yang bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk terjejas, selain bantuan kerajaan dalam bentuk tunai dan usaha membaik pulih rumah,” katanya.
Bercakap mengenai program itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata radio amatur menjadi antara saluran komunikasi penting ketika banjir, khususnya apabila rangkaian telefon dan internet terputus, sekali gus membolehkan maklumat kecemasan terus disampaikan kepada agensi penyelamat.
Katanya, kemudahan itu membolehkan komunikasi diteruskan antara petugas, sukarelawan dan komuniti terjejas bagi menyalurkan maklumat mengenai lokasi mangsa, keadaan semasa serta keperluan bantuan atau operasi menyelamat.
Menurutnya, keupayaan radio amatur beroperasi tanpa bergantung sepenuhnya kepada rangkaian telekomunikasi konvensional menjadikannya alternatif penting, terutama di kawasan pedalaman atau lokasi yang terputus hubungan akibat banjir.
Selain itu, katanya, penggunaan stesen pemancar ulang (repeater) dapat membantu memperluas liputan komunikasi bagi membolehkan maklumat disampaikan ke kawasan lebih jauh.
“Sabah merekodkan sebanyak 1,313 panggilan tanda (callsign) radio amatur aktif dengan 18 stesen repeater, manakala Kelab Radio Amatur Papar (PARC) mempunyai 23 ahli. Penggunaan kemudahan ini turut membantu menyokong penyelarasan operasi kecemasan, termasuk menghubungkan pusat kawalan operasi bencana dengan petugas di lapangan.
“Justeru, kemudahan ini perlu terus diperkasakan sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi bencana bagi memastikan saluran komunikasi alternatif sentiasa tersedia ketika diperlukan,” katanya.





