
LMM Tamat Sah Laku Lebih 36 Bulan Tidak Layak Terima BUDI95 - JPJ
PUTRAJAYA -- Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memaklumkan mana-mana pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang tamat sah lakunya melebihi 36 bulan dari tarikh akhir pembaharuan sebelumnya, tidak layak menerima subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli dalam satu kenyataan hari ini.
"JPJ ingin menegaskan kepentingan pemegang LMM memastikan status lesen masing-masing sentiasa aktif bagi mendapatkan subsidi bersasar BUDI95.
"Dalam hal ini, LMM yang diklasifikasikan aktif adalah lesen yang tamat sah lakunya tidak melebihi 36 bulan dari tarikh akhir pembaharuan sebelumnya. Dalam tempoh ini, pemegang lesen masih layak menerima subsidi BUDI95 dan boleh memperbaharui lesen secara terus tanpa sebarang ujian tambahan.
"Namun demikian, sekiranya lesen memandu telah tamat tempoh melebihi 36 bulan, pemegang lesen tersebut tidak lagi layak menerima subsidi BUDI95.
'Selain itu, pembaharuan lesen tidak boleh dilakukan secara terus dan pemegang lesen diwajibkan menjalani semula ujian kompetensi memandu di mana-mana Institut Memandu," maklum kenyataan itu.
Sehubungan itu, JPJ menyeru semua pemegang lesen memandu Malaysia agar sentiasa memastikan lesen mereka diperbaharui dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan lesen menjadi tidak aktif.
"Tindakan ini penting bagi memastikan kelayakan berterusan untuk menerima subsidi BUDI95.
"Walau bagaimanapun, sekiranya mana-mana individu memandu kenderaan motor, lesen memandu yang dipegangnya hendaklah masih berkuatkuasa iaitu belum tamat tempoh.
"JPJ akan terus komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," jelasnya.
