#LobakMerahTOP5: Rangkuman Kisah Paling Viral & Sensasi Minggu Ini, Korang Dah Baca Belum?

23 Feb 2024 • 5:11 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Setiap hari mesti ada je kan cerita-cerita viral yang berlaku di Malaysia sampai kadang-kadang susah betul nak keep up.

Tapi pada masa yang sama mesti korang pun nak tahu apa isu-isu semasa yang tengah berlaku sekarang kan?

Jadi macam biasa, #LobakMerahTop5 akan senaraikan berita-berita hangat, sensasi dan viral yang berlaku pada minggu ini supaya korang sentiasa up-to-date dengan isu semasa yang berlaku di Malaysia. Joms!

1. Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia

Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak selama lebih tiga dekad telah meninggal dunia di usia 87 tahun Rabu lalu (21 Februari 2024) di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya di Kuching, pada pukul 2.20 petang Khamis selepas solat jenazah diadakan di Masjid Demak berdekatan kediamannya.

Manakala, istiadat penghormatan negeri jenazah Allahyarham berlangsung pada pagi Khamis di mana jenazah beliau telah dibawa dari Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak setelah selesai majlis istiadat memberi penghormatan terakhir oleh orang ramai yang diadakan di situ.

Perjalanan dari kompleks itu ke Masjid Demak diiringi tembakan 87 das meriam oleh Rejimen Ke-8 Artileri Diraja sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama anakandanya, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah antara turut berangkat ke pengebumian Allahyarham.

Taib Mahmud telah meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Raghad Kurdi dan empat orang anak hasil dari allahyarhamah isteri pertamanya Datuk Patinggi Puan Sri Hajjah Laila Taib.

2. Ringgit jatuh paling rendah dalam tempoh 26 tahun

image is not available

Ringgit berterusan jatuh dan Rabu lalu ia telah merekodkan paras terendah dalam tempoh 26 tahun sejak krisis kewangan Asia 1997-1998 yang lalu apabila ia dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Mata wang tempatan jatuh 0.2% kepada 4.7965 berbanding dolar pada Rabu, iaitu paras paling lemah sejak paras terendah sepanjang masa pada 4.8850 pada 1998 berikutan kejatuhan krisis kewangan serantau.

Ringgit dilihat terus menurun selepas ia mencatatkan rekod paras terendah dalam tempoh 25 tahun pada 19 Januari lalu.

3. Viral, lelaki diikat dan dipukul beramai-ramai sehingga maut

Seorang pemandu kereta maut selepas kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang disyaki telah dipukul secara beramai-ramai dalam satu kejadian tular sejak 21 Februari lalu.

Dikatakan, polis telah menerima maklumat pada jam 9.20 malam (20 Februari) mengenai satu kemalangan sebelum anggota trafik bergegas ke lokasi dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai telah terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Pemandunya ditemui dalam keadaan terbaring di atas jalan dan terdapat bekas ikatan pada pergelangan tangannya.

Terbaru, pemandu yang kemudiannya disahkan sebagai Shahril Samad berusia 41 tahun ini didapati positif dadah jenis syabu dan ganja. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa mangsa didapati memiliki 10 rekod dadah dan dikehendaki berkaitan bahan terlarang berkenaan.

Selain itu, Hussein Omar turut mengatakan punca kejadian masih lagi disiasat selepas bedah siasat mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa yang jadi penyebab kematian dan meminta orang ramai yang menjadi saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

4. Jamal Abdillah tarik diri dari AJL

image is not available

Penyanyi yang digelar sebagai Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah baru-baru ini telah mendapat perhatian apabila beliau telah menarik diri dari pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

Jamal menarik diri disebabkan tidak berpuas hati susulan peserta bertanding secara percuma sedangkan pihak produksi menjual tiket kepada penonton yang ingin menyaksikan AJL38.

Beliau menyatakan rasa kurang senang dengan perkara itu apatah lagi pihak produksi mengaut keuntungan menerusi jualan tiket selain mendapat tajaan.

Dalam pada itu, beliau juga terikat dengan acara lain yang telah dipersetujui lebih awal.

5. Lelaki dakwa keturunan Rasulullah dalam pemantauan polis

image is not available

Hangat di media sosial minggu ini susulan laporan mengenai seorang individu yang mendakwa keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya sedang dalam pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bukan itu saja, seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang dikatakan turut aktif mempromosikan individu terbabit, didakwa mengutip dana awam secara tidak sah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemantauan itu termasuklah sebuah madrasah di Selangor yang aktif mempromosi Mawla Amin dengan mengutip dana awam secara tidak sah.

Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghalang apa jua aktiviti membabitkan Mawla Mohamed Amin al-Hassani.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, madrasah itu disyaki sebagai hos kepada Mawla Amin sepanjang berada di Selangor, tahun lalu.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.