Tular di media sosial video pejalan kaki dilanggar kereta, motosikal dan basikal kerana tidak mendengar bunyi hon atau loceng. Semuanya disebabkan mereka memakai fon kepala dan fon telinga dengan sistem pembatalan hingar aktif (ANC). Ini adalah sebab mengapa banyak aksesori audio kini mempunyai mod tembus bagi mengelakkan insiden “pekak secara tidak sengaja” ini membahayakan keselamatan.

Syarikat automotif Skoda Auto dari Czechia telah membangunkan loceng basikal DuoBell yang direka khusus untuk menembusi sistem ANC aksesori audio. Dalam kajian mereka dan saintis dari University of Salford, bunyi pada frekuensi 750–780 Hz tidak boleh ditapis semua sistem ANC. Maka loceng DuoBell direka untuk berbunyi pada frekuensi ini.
Selan itu loceng mempunyai kebuk gema sekunder dan mekanisme tukul tidak sekata untuk menghasilkan corak bunyi yang sukar dihalang oleh ANC. Dalam ujian dunia sebenar menggunakan rakan penghantar Deliveroo berbasikal, deringan loceng boleh didengari sehingga 22 meter atau 5 saat lebih awal. Ini membolehkan pejalan kaki mengelakkan diri dilanggar basikal.
Skoda DuoBell hanya sekadar prototaip dan tidak dijual kepada umum pada waktu ini.

