Logo Twitter Yang Dilelong Awal Tahun Ini Telah Diletupkan Sebagai Promosi Syarikat Pemula

TechnologyDigital
19 Jun 2025 • 4:50 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Seperti yang sedia maklum, platform media sosial Twitter telah dijenamakan semula sebagai X apabila ia diambil-alih oleh Elon Musk. Lokasi pejabat syarikat tersebut di San Francisco pada awalnya memperlihatkan logo Twitter yang dinamakan “Larry” yang telah dijual pada awal tahun ini untuk $34 ribu.

Tidak banyak yang diketahui mengenai siapakah yang membeli Larry pada angka tersebut, tetapi kini, kita tahu apakah nasib logo burung tersebut. Sebagai sebuah promosi untuk sebuah syarikat pemula yang dinamakan Ditchit.

Logo tersebut dibawa ke padang pasir di Nevada untuk kemudiannya diletupkan, dan anda boleh lihat video tersebut diatas.

Ditchit merupakan sebuah syarikat pemula yang mahu menyaingi platform seperti Facebook Marketplace dan OfferUp di Amerika Syarikat sebagai platform menjual barangan terpakai secara terus dari pengguna-ke-pengguna.

image is not available

James Deluca, seorang jurucakap syarikat untuk Ditchit mengatakan bahawa pelan mereka dengan video sedemikian ialah untuk merombak semula segmen platform jual-beli digital dengan memberi fokus kepada pengguna-pengguna platform tersebut.

Kos pemasaran untuk video tersebut dilaporkan termasuklah menyewa kawasan dimana logo Twitter tersebut diletupkan, yang terletak tidak jauh dari luar kawasan Las Vegas, dan juga penyewaan empat buah kenderaan Tesla Cybertruck dan kru rakaman. Jumlah yang dibelanjakan untuk promosi tersebut tidak diketahui.

Mungkin sebagai cara untuk mendapatkan balik wang yang dibelanjakan, Ditchit juga mengatakan bahawa mereka akan membuka bidaan untuk orang ramai membeli serpihan logo yang diletupkan tersebut. Mereka mengatakan bahawa sumbangan yang diterima daripada bidaan tersebut akan disalurkan ke Center for American Entrepreneurship yang menyenaraikan syarikat-syarikat teknologi gergasi seperti Amazon, Google dan Meta sebagai ahli penasihatnya.