Aplikasi TikTok sepatutnya diharamkan di Amerika Syarikat sejak bulan Januari 2025 lepas. Namun, sejak berlakunya perubahan presiden, Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat baharu telah melanjutkan tarikh untuk TikTok, dan meminta ia dijual ke syarikat di negara tersebut untuk meneruskan operasi.

Sejak mengarahkan TikTok untuk dijual, Donald Trump telah memberikan masa tambahan kepada TikTok, dan kali ini, kali ketiga Amerika Syarikat melanjutkan masa, dan memberikan tempoh 90 hari lagi supaya perkhidmatan berkenaan dijual ke syarikat Amerika. Melalui lanjutan baharu, TikTok diberikan tempoh sehingga 17 September 2025 untuk dijual kepada syarikat Amerika, atau akan dihalang aksesnya di negara tersebut.
Amerika Syarikat sebelum ini telah menuduh TikTok membawa ancaman keselamatan negara kerana dimiliki syarikat China, dan meminta operasi negara berkenaan dijual kepada syarikat Amerika dalam meneruskan operasi. Namun, perkara berkenaan tertakluk kepada pelbagai perkara, dan turut perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa di China. Ia tidak diketahui juga sama ada Bytedance ingin menjualnya, atau kerajaan China akan membenarkannya.

Sebelum ini, pada awal Januari 2025, Bytedance sedia memaparkan notis TikTok, Capcut dan beberapa aplikasi lain yang berhenti beroperasi di Amerika Syarikat – sekaligus memberikan petanda mereka telah bersedia untuk menghentikan operasi dinegara berkenaan. Dengan pelanjutan baharu ini, ia tidak diketahui berapa kali lagi Donald Trump akan lanjutkan tarikh jualan untuk TikTok ini.


