Loji Di Singapura Memerangkap 10 Tan Karbon Dioksida Dan 300 Kg Hidrogen Sehari

WorldTechnologyDigitalSpace
29 Feb 2024 • 6:14 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Terdapat beberapa penyelesaian kepada masalah ketumpatan karbon dioksida yang semakin tinggi di udara. Pertama ialah mengurangkan pencemaran dan kedua pula memerangkapnya semula sebelum diubah ke dalam bentuk pepejal. Di Singapura, loji Equatic-1 akan dibina dengan ia kelak mempunyai kemampuan memerangkap 10 tan karbon dioksida daripada udara serta air laut dan pada waktu yang sama menghasilkan 300 kg hidrogen sifar karbon setiap hari.

Equatic-1 dibina selepas kejayaan projek rintis yang dilakukan di Singapura dan Los Angeles tahun lalu. Projek ini ialah hasil kerjasama antara Lembaga Utiliti Awam (PUB), Yayasan Penyelidikan Nasional Singapura (NRF), dan Institut Pengurusan Karbon (ICM) UCLA. Karbon dioksida di udara dan air laut diperangkap menggunakan teknologi elektrolisis.

image is not available

Selepas karbon dioksida berjaya dikeluarkan, ia disimpan dalam bahan pepejal kalsium dan magnesium. Menurut penyelidik, dalam bentuk pepejal karbon dioksida ini boleh diperangkap sehingga 10,000 tahun. Kerana teknologi elektrolisis digunakan, gas hidrogen terhasil sekali dan daripada membuangnya ke atmosfera loji menyimpannya untuk digunakan sebagai bahan api yang lestari.

Loji Equatic-1 akan dibina di Tuas dengan kos $20 juta (~RM95 juta) di mana fasa pertama dijangka beroperasi pada penghujung 2024. Fasa kedua dijangka siap pada tahun 2025. Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, sebanyak 3,650 tan metrik karbon dioksida dapat dibuang daripada udara serta laut dan 105 tan metrik hidrogen sifar karbon dihasilkan setahun. Ini turut menjadikan Equatic-1 loji memerangkap karbon dioksida menerusi air lautan terbesar di dunia.

Di Malaysia usaha membangunkan teknologi menangkap dan storan karbon dioksida (CCS) telah dimulakan oleh PETRONAS dan Shell di Sarawak dengan karbon dioksida disimpan dalam bekas telaga minyak yang tidak lagi digunakan.