
PARIS: Sebuah loji tenaga nuklear di utara Perancis menutup tiga reaktor selepas sekumpulan besar ubur-ubur menyumbat pam yang digunakan untuk menyejukkan unit berkenaan, kata syarikat tenaga EDF pada Selasa.
Tiga reaktor dihentikan operasinya pada Isnin manakala pengeluaran tenaga daripada reaktor keempat dikurangkan separuh, kata EDF dalam satu kenyataan.
Ini menyebabkan hanya satu reaktor beroperasi pada kapasiti penuh.
Reaktor keenam pula telah ditutup sebelum ini bagi menjalani kerja penyelenggaraan berjadual.
“Situasi ini tidak memberi kesan terhadap keselamatan kemudahan, keselamatan kakitangan atau alam sekitar,” kata EDF.
Pengeluaran tenaga nuklear Perancis mengalami gangguan akibat beberapa gelombang haba dan kemarau tahun ini, dengan EDF menutup beberapa reaktor pada Jun serta Julai susulan cuaca panas melampau.
Pada Ahad sebelum penutupan terbaharu itu, Perancis mencatatkan kekurangan sebanyak 15.6 peratus dalam pengeluaran tenaga nuklear, menurut pengiraan AFP berdasarkan data EDF yang diterbitkan sejak 2015.
Loji tenaga nuklear Gravelines, berhampiran bandar Dunkirk di utara Perancis, merupakan loji tenaga nuklear terbesar di Eropah Barat, dengan enam reaktor berkapasiti 900 megawatt setiap satu.
Loji tenaga nuklear itu pernah ditutup sementara setahun lalu selepas ubur-ubur menyumbat stesen pam air lautnya. – AFP
The post Loji nuklear terpaksa ditutup selepas ‘diserang’ ubur-ubur appeared first on Utusan Malaysia.

