Loji penyahgaram dari Forest City dipindah atasi krisis air di Felda Lok Heng, Felda Waha

LocalEnvironment
22 Apr 2026 • 2:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Usaha serentak pembenihan awan dan pemasangan loji penyahgaram atasi isu krisis air di Felda Lok Heng dan Felda Waha.

KOTA TINGGI – Langkah segera diambil bagi mengatasi gangguan bekalan air di Felda Lok Heng dan Felda Waha apabila set loji penyahgaram dipindahkan dari Forest City ke Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden berkata, gangguan berkenaan berpunca daripada cuaca kering berpanjangan yang menyebabkan paras air Sungai Ulu Sedili Kecil merosot ketara.

Jelasnya, keadaan itu tidak lagi mampu menampung operasi LRA Lok Heng, sekali gus menjejaskan lebih 4,000 pengguna di kawasan terlibat.

"Sebelum ini, kerajaan negeri bersama pihak berkaitan telah melaksanakan beberapa usaha mitigasi termasuk penggunaan air bawah tanah melalui telaga tiub serta percubaan pemindahan air dari Sungai Lukah.

"Namun, kedua-dua kaedah itu tidak dapat diteruskan berikutan sumber air terhad selain tahap kemasinan tinggi yang tidak sesuai dirawat menggunakan fasiliti sedia ada.

"Sebagai penyelesaian segera, Ranhill SAJ kini memindahkan dan memasang loji penyahgaram berkenaan yang dijangka mampu menghasilkan kira-kira dua juta liter air terawat sehari bagi membantu menstabilkan semula bekalan," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, tindakan pembenihan awan turut dijadualkan pada hari ini dan esok bagi meningkatkan peluang hujan selepas keadaan awan sebelum ini didapati tidak sesuai.

Langkah kecemasan tersebut diharap dapat mempercepatkan pemulihan bekalan air sekali gus mengurangkan kesulitan penduduk di Felda Lok Heng dan Felda Waha.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved