Loke selar syarikat lori masih degil mahu bawa lebih muatan -“Nyawa rakyat lebih penting!”

LocalPolitics
27 Oct 2025 • 7:25 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tampil tegas menyelar syarikat lori dan pemain industri yang masih berdegil mahu meneruskan amalan membawa lebih muatan, walaupun penguatkuasaan kini diperketatkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selar syarikat masih mahu bawa lori lebih muatan

Memetik laporan daripada Berita RTM, Anthony menyatakan tiada sebarang rundingan atau kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba mempertahankan amalan itu kerana keselamatan nyawa rakyat lebih penting daripada keuntungan.

“Saya nak supaya rakyat selamat, pengguna jalan raya mesti selamat. Keuntungan bukan segala-galanya. Mungkin kos meningkat, tetapi adakah kos itu lebih penting daripada nyawa manusia?
“Jawapan saya, nyawa manusia lebih penting,” tegasnya di Dewan Rakyat hari ini.

image is not available

Ada syarikat berunding demi mahu lori terus bawa lebih muatan

Beliau turut mendedahkan terdapat pihak industri yang cuba berunding secara terus bagi membenarkan lori membawa lebih muatan, namun perkara itu ditolak mentah-mentah.

“Saya agak terkilan dengan tindakan sebahagian pemain industri yang tahu mereka bersalah, tetapi masih mahu berunding. Ini mencabar autoriti kerajaan.
“Jadi saya kata forget about it. Tiada rundingan. Penguatkuasaan undang-undang akan tetap berjalan. Nyawa rakyat jauh lebih penting daripada keuntungan nilai ringgit,” katanya.

image is not available

Budaya keselamatan jalan raya

Anthony turut menegaskan, pihak kementerian akan terus memperkukuh penguatkuasaan bersama JPJ, sambil menyeru semua pemain industri berubah dan bertanggungjawab dalam mewujudkan budaya keselamatan jalan raya baharu.

“Menukar budaya dan pemikiran industri, rakyat dan kerajaan bukan mudah, tetapi kita mesti berusaha bersama mewujudkan budaya keselamatan jalan raya yang baharu demi keluarga dan orang tersayang,” ujarnya.

image is not available

Kenyataan itu dibuat sebagai respon terhadap rungutan beberapa persatuan pembinaan yang mendakwa tindakan tegas JPJ terhadap lori lebih muatan menyebabkan mereka perlu membuat lebih banyak perjalanan dan menanggung peningkatan kos operasi.

Namun bagi Anthony, mesejnya jelas untuk tiada tolak ansur apabila nyawa rakyat dipertaruhkan.

Sumber: Berita RTM