Loke tegur kehadiran perwakilan DAP Selangor, mahu pemimpin tak komited disenarai hitam

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 11:27 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memberi amaran bahawa pemimpin parti yang gagal menunjukkan komitmen terhadap tanggungjawab mereka berisiko kehilangan peluang untuk terus memegang jawatan mahupun dicalonkan dalam pilihan raya akan datang.

Menurut laporan Berita Harian, beliau berkata, kehadiran perwakilan pada Konvensyen DAP Selangor di SITC, Seksyen 14, Shah Alam pada Ahad dilihat kurang memuaskan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kesungguhan ahli dalam memperjuangkan agenda parti.

Loke berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku hanya kerana konvensyen berkenaan tidak melibatkan sebarang pemilihan jawatan, lebih-lebih lagi ketika DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Hari ini (semalam) saya nampak semangat belum cukup kuat lagi. Kehadiran tidak begitu memberangsangkan kerana tidak ada pemilihan parti.
“Kalau pemilihan parti tak payah cakap pun, dewan penuh. Saya nak kata ahli-ahli kita, cawangan-cawangan kita ditubuhkan bukan untuk pemilihan parti.
“Kita ditubuhkan untuk membawa obor perjuangan parti. Ada pemilihan tak ada pemilihan, wajib kehadiran yang baik dalam konvensyen. Ini parti pemerintah. Kita berada dalam kerajaan negeri,” katanya.
Image from: Loke tegur kehadiran perwakilan DAP Selangor, mahu pemimpin tak komited disenarai hitam

Foto: FB DAP Selangor

Susulan itu, Loke meminta Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han mengenal pasti individu yang gagal menghadiri konvensyen, khususnya dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua kampung serta ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau turut memberi peringatan bahawa pemimpin yang tidak mampu memenuhi tanggungjawab asas terhadap parti tidak wajar terus diberikan peluang untuk memegang jawatan.

“Ketua kampung, ahli majlis yang tidak hadir, kalau tidak hadir kena senarai hitam jangan sambung. Kalau tiada komitmen kepada parti tak payah bagi peluang kedua.
“Kalau mana-mana ADUN tidak hadir hari ini bagi nama kepada saya. Ini asas tanggungjawab. Kalau komitmen yang paling asas tidak ada, jangan cakap pasal perjuangan. Jangan cakap pasal hendak jadi calon,” ujarnya.

Dalam pada itu, Loke menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mengabaikan kepentingan parti, biarpun ketegasannya mungkin mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.

Malah, beliau menyatakan kesediaan berdepan sebarang usaha untuk mencabar kedudukannya, namun tetap berpegang pada pendirian bahawa individu yang tidak menunjukkan komitmen tidak seharusnya diberikan tempat dalam parti.

“Kamu nak pakai cawangan, kamu nak pakai delegasi nak jatuhkan saya buatlah sesuka hati kamu. Tetapi saya akan pastikan orang yang tak ada komitmen, tidak akan mendapat tempat,” katanya.
Image from: Loke tegur kehadiran perwakilan DAP Selangor, mahu pemimpin tak komited disenarai hitam

Foto arkib: Malay Mail/Firdaus Latif

Mengulas kedudukan semasa DAP, Loke menyifatkan parti itu kini berada dalam ‘mod krisis’ susulan dakwaan wujudnya pihak yang berusaha melemahkan DAP serta menjatuhkan kerajaan.

Justeru, beliau mahu seluruh jentera parti kembali memperkukuh semangat perjuangan seperti yang ditunjukkan pada 2008 bagi menghadapi cabaran politik akan datang.

“Orang lain hendak jatuhkan parti kita, nak jatuhkan kerajaan kita. Kita mesti serius dalam perjuangan kita, kita mesti mengambil semangat untuk mempertahankan dan berjuang seperti semangat kita pada tahun 2008,” ujarnya lagi.

Sumber: Berita Harian (Ruwaida Md Zain)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved