
KUALA LUMPUR - Dua lelaki maut selepas tertimbus dalam kejadian runtuhan tebing tanah, yang dipercayai berlaku ketika keduanya menjalankan aktiviti melombong emas secara haram berhampiran aliran sungai di sebuah ladang kelapa sawit di Ladang Sawit Jerimbong, Jeli, malam tadi.
Mangsa yang masing-masing berusia 38 dan 32 tahun itu dipercayai terperangkap selepas tebing tanah setinggi kira-kira dua meter runtuh sekitar jam 8.20 malam.
Seorang lagi individu bagaimanapun dilaporkan terselamat dalam kejadian berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan beberapa individu tertimbus dalam runtuhan tanah, sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Menurut beliau, operasi berdepan kesukaran berikutan laluan sempit dan mencabar di kawasan ladang berkenaan sehingga menyebabkan jentera bomba tidak dapat memasuki lokasi kejadian.
“Anggota penyelamat terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux untuk ke lokasi kejadian kerana keadaan laluan yang sukar dilalui,” katanya.
Beliau berkata, operasi mencari bermula pada jam 9.20 malam dan mendapati dua mangsa tertimbus akibat runtuhan tebing berhampiran kawasan anak sungai.
Mangsa pertama berjaya ditemui lima minit kemudian, manakala mangsa kedua ditemukan kira-kira dua jam selepas itu, iaitu pada jam 11.18 malam.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Izuan Che Ibrahim berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Ali Akhbar, 38, dan Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai sedang menjalankan aktiviti melombong emas di kawasan berkenaan ketika kejadian berlaku.
Kes berkenaan kini diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti status aktiviti perlombongan yang dijalankan di kawasan tersebut.






