JELI - Hasil mendulang emas dikatakan tidak seberapa atau ‘ciput’ sehingga mendorong segelintir pihak memilih untuk melombongnya secara haram demi keuntungan berganda.
Perkara itu diakui pendulang emas yang berpengalaman hampir sedekad, Rozmi Azid, 52, apabila aktiviti tersebut tidak menghasilkan emas sebagaimana yang digambarkan.
"Kalau mendulang, hendak mendapatkan satu gram sehari pun sukar. Dalam rekod saya sendiri, untuk mendapatkan satu gram ia mengambil masa dua hari serta perlu mendulang dari pagi hingga petang.
“Disebabkan itu, ada sahaja pihak yang inginkan keuntungan besar memilih untuk melombong walaupun aktiviti ini dilihat membahayakan serta merosakkan alam sekitar,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurutnya yang bekerja sendiri, kebanyakan mereka yang melombong emas biasanya melibatkan penduduk setempat berhampiran kawasan mineral itu ditemukan.
Ujarnya, keadaan itu kerana aktiviti melombong melibatkan penggunaan mesin dan individu dari luar biasanya tidak berani berbuat demikian.
Rozmi berkata, disebabkan itu tidak mustahil berlaku kejadian tanah runtuh atau sebagainya kerana semakin dalam digali, hasilnya lebih lumayan berbanding emas yang dicedok dari sungai.
"Melombong hasilnya lebih banyak. Kalau sekadar mendulang, berapa sangatlah. Ini berdasarkan pengalaman saya mendulang di Johor, Pahang serta di sini," katanya.





