Rakyat tidak tanggung sepenuhnya kesan krisis global - Tengku Zafrul

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 3:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Zafrul

SHAH ALAM - Kerajaan telah membelanjakan sekitar RM4 bilion menerusi inisiatif Sokongan Rakyat bagi memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan global.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan itu digunakan bagi mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter selain meneruskan sokongan diesel untuk sektor yang layak.

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk bertindak secara bersasar dalam menyerap tekanan kos tenaga yang berlarutan.

"Rakyat tidak menanggung kesan krisis ini. Pendekatan kerajaan jelas, bukan sekadar bertindak, tetapi bertindak secara bersasar.

"Bila keadaan memerlukan, saya yakin kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya bukan sekadar menjelaskan, tetapi menyelesaikan," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial rasminya pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa kedudukan ekonomi Malaysia kini relatif lebih stabil berbanding beberapa negara serantau pada Rabu.

Anwar menjelaskan, kestabilan ekonomi membolehkan harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter tanpa keperluan melakukan catuan seperti yang berlaku di negara jiran.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, kerajaan sedia mengaktifkan stimulus atau inisiatif tambahan secara berperingkat sekiranya keadaan rantaian bekalan dunia semakin mencabar.

Jelas beliau, disiplin fiskal tetap menjadi keutamaan namun kerajaan tidak boleh bersandar kepada angka semata-mata tanpa mengambil kira realiti tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

"Tanggungjawab kita jelas, memastikan apabila keadaan berubah, kita bukan sekadar bersedia tetapi mampu bertindak dengan pantas dan tepat," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved