Lonjakan pusat data buka peluang Petronas bekal LNG

Business & Finance
11 Nov 2026 • 7:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lonjakan pusat data buka peluang Petronas bekal LNG

PETALING JAYA: Perkembangan pesat industri pusat data didorong peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi membuka pasaran baharu kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi pembekalan gas asli untuk penjanaan tenaga bagi menyokong operasi kemudahan berkenaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, permintaan tenaga daripada pusat data boleh mewujudkan peluang komersial kepada industri gas negara, khususnya menerusi penjualan gas pada harga pasaran berbanding eksport melalui kontrak jangka panjang.

Menurutnya, Malaysia mengeksport kira-kira 30 juta tan metrik LNG setahun dan perkembangan industri pusat data membuka ruang untuk memanfaatkan sebahagian sumber tenaga itu bagi memenuhi keperluan domestik.

“Jika kita mempunyai pusat data yang menggunakan tenaga solar dan masih memerlukan penjanaan elektrik berasaskan gas, mereka boleh membeli gas daripada Petronas pada harga runcit berdasarkan harga pasaran.

“Pusat data akan membayar harga tersebut dan ia berpotensi memberikan pulangan premium kepada industri tenaga kita,” katanya ketika berucap pada Siri Sektor Pelaburan Malaysia: Memacu Era AI-Apa Seterusnya? di sini semalam.

Mengulas lanjut, Johari berkata, peluang itu wajar diterokai secara strategik memandangkan pengendali pusat data mempunyai keupayaan untuk membayar harga tenaga yang lebih tinggi berbanding pengguna industri biasa.

Bagaimanapun, ujarnya, sebarang perancangan membekalkan gas kepada pusat data perlu mengambil kira komitmen kontrak eksport sedia ada, keperluan tenaga domestik serta kapasiti infrastruktur negara.

“Gas semakin berkurangan dan kita perlu memastikan keperluan tenaga industri sedia ada serta komitmen eksport yang telah dipersetujui terus dihormati.

“Kita perlu memahami kedudukan bekalan Petronas untuk tempoh 10 tahun akan datang dan bagaimana kita boleh membangunkan ekosistem tenaga yang mampan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan mempertimbangkan permohonan baharu sehingga bekalan elektrik dan keupayaan sumber air di lokasi dicadangkan disahkan mencukupi.

Jelasnya, pendekatan itu penting memandangkan 117 pusat data sudah mendapat kelulusan dengan anggaran permintaan tenaga maksimum kira-kira 23,500 megawatt (MW) apabila semua projek beroperasi sepenuhnya.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 55 pusat data sudah beroperasi, 19 sedang dalam pembinaan, manakala 16 lagi mendapat kelulusan tetapi belum memulakan pembinaan dan 27 projek lain turut diluluskan dengan pengaturan bekalan tenaga luar grid.

“Keutamaan kita bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan pusat data, tetapi membina infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong ekonomi digital negara tanpa menjejaskan kemampuan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik.

“Selain itu, pengendali pusat data digalakkan mendapatkan sumber penjanaan elektrik sendiri menerusi gabungan tenaga gas, solar dan hidro, selain penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS),” katanya,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, pengembangan infrastruktur tenaga berupaya membuka peluang pelaburan baharu dalam penjanaan elektrik, penyimpanan tenaga, teknologi grid, kejuruteraan serta rantaian bekalan domestik.

Tambahnya, matlamat Malaysia bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan pusat data, sebaliknya membangunkan infrastruktur yang diperlukan bagi mewujudkan ekonomi digital yang berdaya saing. – UTUSAN

The post Lonjakan pusat data buka peluang Petronas bekal LNG appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved