amree10/11/2026 - 12:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov — Ledakan pusat data (DC) yang menggunakan tenaga elektrik dalam jumlah besar susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI) membuka peluang kepada PETRONAS membekalkan gas untuk penjanaan elektrik khusus, sekali gus memperoleh pelanggan jangka panjang pada harga pasaran.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu berpotensi mewujudkan pasaran domestik baharu bagi industri gas negara, selain membolehkan PETRONAS membekalkan tenaga kepada pengendali DC tanpa bergantung kepada bekalan daripada grid nasional.
Beliau ketika menyampaikan ucaptama pada program Bursa Malaysia Sectoral Series: Powering the AI Era — Watt Next? pada Selasa berkata, Malaysia boleh meneroka penjanaan elektrik khusus menggunakan gas untuk DC, digabungkan dengan sumber tenaga lain seperti solar bagi memenuhi keperluan operasi.
"Pendekatan tersebut juga membolehkan sebahagian sumber gas negara dapat disalurkan terus kepada penjanaan tenaga domestik, tertakluk kepada komitmen eksport sedia ada dan keperluan bekalan dalam negara sendiri," jelas beliau.
Tambah Johari, perjanjian bekalan jangka panjang boleh memberikan kepastian permintaan kepada pengeluar tenaga, selain membolehkan pengendali DC dapat merancang keperluan bekalan elektrik bagi menyokong operasi semasa mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sumber gas negara masih lagi adalah terhad dan sebarang perjanjian pembekalan perlu menetapkan harga secara telus berdasarkan kepada situasi pasaran serta mengambil kira segala komitmen PETRONAS yang sedia ada.
Ujarnya, kontrak eksport jangka panjang dan dasar infrastruktur sedia ada juga akan terus dihormati, manakala sebarang pengagihan semula bekalan gas berkenaan perlu mengambil kira aspek kepentingan serta keperluan tenaga negara.
"Pada masa sama, peningkatan permintaan elektrik daripada DC dijangka membuka peluang pelaburan dalam sektor tenaga lain termasuk penjanaan elektrik, sistem penyimpanan tenaga bateri dan pembangunan infrastruktur grid," kata Johari.
Pada ketika ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekalkan elektrik kepada 36 DC di Malaysia, dengan puluhan lagi projek seumpamanya sedang dalam perancangan, yang mencerminkan peningkatan permintaan tenaga susulan perkembangan ekonomi digital.
Johari turut menegaskan bahawa pelabur DC perlu menanggung kos naik taraf sistem penghantaran elektrik yang diperlukan projek masing-masing, selain dikenakan bayaran bagi bekalan diperuntukkan walaupun tidak digunakan sepenuhnya, bagi mengelakkan kapasiti terikat tanpa pampasan. - DagangNews.com




