Lonjakan RM7 bilion bukti industri buku tempatan kalis krisis

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 9:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lonjakan RM7 bilion bukti industri buku tempatan kalis krisis
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.

UNJURAN nilai industri buku negara yang dijangka mencecah antara RM6 bilion hingga RM7 bilion menjelang 2026 bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya mencerminkan transformasi radikal ekosistem literasi Malaysia pasca-pandemik.

Berdasarkan data dikongsi Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan USIM, Dr Mohd Faisol Ibrahim, lonjakan ini disokong oleh pertumbuhan konsisten sumbangan sektor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat daripada RM2 bilion pada 2015 kepada RM4.9 bilion pada 2021.

Analisis juga menunjukkan bahawa pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat menjadi pemangkin utama yang meningkatkan kuasa beli rakyat terhadap bahan bacaan.

Faktor ekonomi ini, digabungkan dengan keberanian penerbit baharu yang muncul selepas pandemik, telah mewujudkan suasana pasaran yang lebih dinamik dan kompetitif.

Industri tidak lagi bersifat konvensional. Peralihan kepada penerbitan e-buku serta pengukuhan jualan melalui platform dalam talian dikenal pasti sebagai faktor pendorong kedua terbesar dalam memacu industri.

Mohd Faisol menegaskan bahawa penerbitan kini telah berevolusi melepasi bentuk fizikal, di mana segmen pendidikan, akademik, dan keagamaan terus memegang status sebagai domain paling dominan dalam pasaran.

Di peringkat polisi, sokongan padu kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dilihat sebagai tulang belakang kepada kerancakan ini.

Pendaftaran ISBN yang mencecah lebih 48,000 unit dalam tempoh dua tahun (2024-2025) menjadi bukti sahih bahawa aktiviti penghasilan ilmu di Malaysia berada pada tahap yang membanggakan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyatakan, angka tersebut adalah selaras dengan aspirasi melahirkan masyarakat berilmu menjelang matlamat Negara Membaca 2030.

Untuk jangka masa panjang, industri ini mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai sektor strategik negara.

Fokus masa hadapan harus menjurus kepada pembangunan pasaran komersial berskala besar, khususnya dalam bidang khusus (niche) seperti Kewangan dan Perbankan Islam, Industri Halal dan Pemerkasaan Bahasa Melayu di peringkat global.

Melalui platform antarabangsa seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), pengaruh budaya ilmu Malaysia mampu diperluaskan ke peringkat global, sekali gus memastikan industri buku bukan sahaja menjana ekonomi, tetapi juga menjadi duta intelek negara di persada dunia.