Sindiket guna ‘fleet card’ seleweng diesel tumpas

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket guna ‘fleet card’ seleweng diesel tumpas
Armizan (kiri) melihat tong berisi minyak diesel yang berjaya dipatahkan oleh penguatkuasa KPDN di kawasan perindustrian Taman Mount Austin, Johor Bahru pada Khamis.
Image from: Sindiket guna ‘fleet card’ seleweng diesel tumpas
Antara rampasan dalam serbuan sindiket seleweng diesel menggunakan fleet card di Johor Bahru yang turut melibatkan pelbagai peralatan.

JOHOR BAHRU – Taktik sindiket menyalahgunakan fleet card untuk mengumpul diesel bersubsidi di sebuah premis dipercayai stor haram di kawasan perindustrian Taman Mount Austin di sini terbongkar selepas diserbu awal pagi Khamis.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu hasil risikan bersama KDPN dan Kastam selama seminggu.

Menurut beliau, sindiket dikesan mengumpul bahan api menggunakan beberapa 'fleet card' sebelum disimpan di premis berkenaan.

“Hasil kerjasama Kastam, tindakan tegas telah diambil dan tiga lelaki ditahan membabitkan seorang warga tempatan serta dua warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40-an bagi membantu siasatan lanjut.

"Modus operandi mereka adalah menyalahgunakan fleet card untuk mengumpul diesel sebelum dihimpunkan di satu lokasi,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di premis berkenaan pada Khamis.

**media[3500012]**

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas kira-kira 11,500 liter diesel dianggarkan bernilai RM58,880 selain 1,200 liter lagi dalam tangki IBC bernilai RM6,144.

"Turut disita lapan keping "fleet card", sebuah tangki IBC, pam minyak, hos, sebuah tangki treler, kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori 'bonded' serta empat unit tangki IBC berisi diesel dalam muatan lori.

"Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah RM265,986 dengan nilai diesel sahaja sebanyak RM65,024," katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.