Lori barang kes kemalangan maut terbakar

10 May 2026 • 5:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lori barang kes kemalangan maut terbakar
Lori yang diletakkan di hadapan IPD Kuala Pilah terbakar. Foto ihsan PDRM

KUALA PILAH - Sebuah lori yang merupakan barang kes kemalangan maut terbakar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuala Pilah di sini pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu berlaku ketika lori berkenaan diletakkan di luar kawasan IPD.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah tiba di lokasi jam 3.05 pagi untuk memadamkan kebakaran terbabit.

"Api berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 20 minit dan hasil siasatan awal mendapati, lori itu adalah barang kes bagi satu kemalangan jalan raya yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kemalangan dipercayai berlaku di Jalan Kuala Pilah–Batu Kikir membabitkan sebuah lori serta dua kereta lain sehingga mengakibatkan seorang mangsa meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, lori itu bersama dua kenderaan lain ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Bagaimanapun ujarnya, lori berkenaan terpaksa diletakkan di luar kawasan kompaun IPD kerana faktor saiz dan kesesuaian lokasi simpanan.

"Setakat ini, punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan bantuan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"Sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatandengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Supiah Ishak di talian 019-9933978," katanya.