Pasangan kekasih warga Singapura rentung, Ferrari dinaiki terbabas, terbakar

LocalCars
9 May 2026 • 6:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pasangan kekasih warga Singapura rentung, Ferrari dinaiki terbabas, terbakar
Sepasang kekasih warga Singapura rentung selepas kereta dinaiki terbabas dan kemalangan di Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi. - Foto IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI - Pasangan kekasih warga Singapura rentung selepas kereta dinaiki terbabas dan kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 57.5 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 9 pagi.

"Kemalangan tersebut melibatkan kereta jenis Ferrari dipandu lelaki berusia 34 tahun terbabit bersama-sama wanita berusia 33 tahun di tempat duduk depan penumpang. Mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Mersing.

"Kereta berkenaan kemudian terbabas lalu kemalangan dan mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan, terbakar serta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000.

Tambahnya, ini termasuk hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh lima tahun.