Lori Elektrik Dengan GPS Inisiatif Baharu FELDA, Pastikan Hasil Diurus Lebih Baik - Ahmad Shabery

LocalBusiness & Finance
18 Apr 2025 • 6:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Shabery berucap pada pelancaran Damar Berkat: Pusat Mengumpul Sawit (PMS) - Gambar FELDA

KUALA LUMPUR - Penggunaan lori elektrik dengan penjejak GPS selaku inisiatif baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diyakini mampu memastikan setiap hasil dibawa ke kilang dengan lebih sistematik.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sistem kebolehjejajakan dan teknologi lebih bersepadu oleh syarikat Sustainable Future Sdn Bhd ini dapat memastikan pengangkutan hasil hanya ke kilang dan pusat pengumpulan FELDA.

Menurut beliau, sistem baharu itu juga akan memastikan setiap hasil sawit ditimbang, direkod secara digital dan dipantau dalam sistem telus yang dikendalikan Koperasi Permodalan FELDA (KPF).

“FELDA mengambil inisiatif dengan mengunakan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu serta mampan bagi mengurangkan ketirisan. Harapan kami, langkah itu akan memberi pulangan secara terus kepada peneroka.

“Data hasil ini menjadi pangkalan maklumat penting untuk strategi pasaran, subsidi dan logistik, sekali gus memperkukuh daya saing FELDA dalam sektor agrikomoditi negara,” katanya pada pelancaran Damar Berkat: Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Feda Bukit Damar dekat Lanchang, Pahang.

Jelas Ahmad Shabery, KPF sebelum ini pernah mengalami kejatuhan dividen ekoran kelemahan dalam sistem agihan hasil. 

“Dengan pembaharuan ini, FELDA mensasarkan pemulihan semula kekuatan koperasi sebagai nadi pembangunan ekonomi komuniti peneroka,” ujarnya.

image is not available
Gambar FELDA

Mengulas lanjut beliau berkata, pelancaran Damar Berkat: PMS disifatkan sebagai titik permulaan kepada reformasi besar-besaran dalam pengurusan hasil peneroka, yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus didalangi peraih, sindiket penimbang dan ejen luar.

“Sistem lama telah membuka ruang kepada “singa, buaya dan gajah” yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain yang kaut. 

“FELDA tidak boleh lagi berdiam diri. Ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah FELDA secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat kehilangan hasil tidak direkod dan aktiviti luar sistem,” katanya.

Tegasnya, hasil sawit peneroka dimanipulasi peraih yang hanya mengambil untung di atas angin.

“Akibatnya, sawit ‘hilang’ di tengah jalan malah pembayaran tidak telus. Situasi ini telah melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar,” katanya.

Ahmad Shabery memberi jaminan, Damar Berkat bukan sekadar pusat pengumpulan fizikal, tetapi simbol perjuangan mengembalikan maruah dan hak peneroka yang pernah terabai.

Ujarnya, langkah itu diharap dapat menghapuskan budaya kebergantungan kepada peraih yang selama ini mengambil kesempatan ke atas peneroka, kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain. 

“Peneroka tidak lagi perlu menghantar buah sawit ke luar sistem dengan bayaran tidak telus dan dipotong secara tidak sah. Pusat pengumpulan ini turut akan menjadi pangkalan data hasil peneroka yang lebih sistematik, membantu FELDA merancang strategi pasaran, logistik dan bantuan subsidi dengan lebih tepat dan bersasar.

“Ini selaras dengan transformasi FELDA ke arah organisasi yang berdaya saing dan mampan dalam memulihkan semula kepercayaan peneroka terhadap institusi ini, yang sebelum ini sedikit tercalar akibat kelemahan pengurusan dan pengaruh pihak luar,” katanya.

Beliau menarik perhatian, peneroka bukan sahaja dapat menjual hasil pada harga yang lebih adil, malah menerima bayaran secara lebih cepat dan telus. 

“Ini memberikan kelegaan besar kepada golongan yang selama ini terpaksa bergantung kepada bayaran tidak menentu daripada pembeli luar.

“Kekayaan bukan sekadar tentang menjadi kaya, tetapi tentang berkongsi dengan orang lain, sebagai ‘berkat’. Dengan semangat itu, saya lebih gemar jika pusat ini dinamakan Damar Berkat dan saya berharap sistem baharu ini akan membawa lebih banyak keberkatan kepada semua pihak,” katanya. - Getaran, 18 April 2025