Lorong terbalik, akal tergelincir di lebuh raya

LocalOpinion
7 May 2026 • 9:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lorong terbalik, akal tergelincir di lebuh raya
Isu penyalahgunaan lorong lebuh raya di Malaysia semakin membimbangkan apabila sikap pemandu yang tidak berdisiplin menjejaskan keselamatan dan kelancaran trafik. - Gambar hiasan

LORONG di lebuh raya sekarang ni macam dah bertukar watak.

Yang sepatutnya jadi lorong perlahan, tiba-tiba jadi laluan paling laju. Yang lorong memotong pula, entah kenapa berubah jadi lorong santai macam jalan kampung.

Paling pelik, semua orang nampak situasi ini berlaku hampir setiap hari, tapi macam tiada siapa rasa bersalah.

Merak Jalanan perhati, masalah ini bukan sekadar soal memandu, tapi soal mentaliti. Bila masuk lebuh raya, masing-masing bawa perangai sendiri. Ada yang terlalu selesa di lorong kanan, walaupun kelajuan tak seberapa. Bila hon atau bagi lampu tinggi, buat tak tahu. Seolah-olah lorong itu dia yang punya.

Dalam masa sama, ada pula yang ‘terpaksa’ memecut di lorong kiri sebab lorong kanan dah jadi tempat beriadah. Situasi ini bukan sahaja menyakitkan hati, tapi juga bahaya.

Lebuh raya dibina dengan sistem, bukan suka-suka. Ada fungsi setiap lorong, ada adab yang sepatutnya dipatuhi.

Ironinya, ramai pemandu tahu peraturan, tapi memilih untuk abaikan.

Mungkin sebab rasa 'tak kena saman', atau sekadar pentingkan diri sendiri. Tapi bila semua orang fikir begitu, akhirnya jalan jadi kucar-kacir.

Lebih membimbangkan, sikap ini dah jadi normalisasi. Bila ditegur, ada yang melenting seolah-olah mereka lebih betul di jalan raya. Hakikatnya, undang-undang bukan untuk hiasan papan tanda sahaja, tapi untuk keselamatan semua pengguna.

Merak Jalanan rasa, ini bukan isu kecil. Ini soal disiplin dan kesedaran sivik.

Kadang-kadang, yang laju bukan kereta, tapi ego. Dan yang perlahan pula bukan trafik, tapi kesedaran.