Penunggang motosikal rempuh polis trafik didenda RM3,000

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 4:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang motosikal rempuh polis trafik didenda RM3,000
Penunggang motosikal yang merempuh anggota polis trafik sehingga cedera ketika sekatan jalan raya di Persiaran Raja Muda Musa, Isnin lepas didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Klang pada Khamis.

KLANG - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis mendenda seorang penunggang motosikal RM3,000 kerana merempuh anggota polis trafik sehingga cedera ketika sekatan jalan raya di Persiaran Raja Muda Musa, Isnin lepas. 

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Irfan Jasman, 19, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan penghantar makanan sambilan itu dipenjara tiga bulan, jika gagal membayar denda. 

Muhammad Irfan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Koperal Ahmad Faidz Mat Jusoh, 39, semasa mangsa menjalankan tugas sebagai penjawat awam yang sah pada 1 pagi 27 April. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi memohon hukuman berbentuk pencegahan atas alasan kejadian berlaku di tempat awam semasa mangsa sedang bertugas.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Nathiya bagaimanapun merayu denda yang rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap manakala ayahnya tidak bekerja dan ibunya kerani dengan pendapatan bulanan RM1,500.

Di mahkamah berasingan, Muhammad Irfan mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu di lokasi sama pada 1.30 pagi hari sama di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta maksimum RM15,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli mencadangkan jaminan RM7,000 atas alasan kes melibatkan anggota polis dan dilakukan semasa sekatan jalan raya.

Majistret A Karthiyayini menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan 11 Jun untuk mendapatkan laporan sosial lelaki itu. - Bernama