‘Love Scam’: Rakyat Malaysia Rugi Lebih RM6 Juta Untuk 3 Bulan Pertama

LocalPolitics
12 Apr 2026 • 5:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Gara-gara terjerat dengan perangkap ‘love scam’, rakyat negara ini kerugian lebih RM6.6 juta dalam tempoh tiga bulan pertama 2026, sekali gus mendorong polis mengeluarkan amaran baharu mengenai taktik sindiket yang semakin licik dan canggih.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, 251 kes direkodkan dari Januari hingga Mac lalu membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM6,660,696.36.

Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya kerana sindiket terbabit sangat mahir memanipulasi kata-kata serta emosi mangsa.

“Semak gambar profil menggunakan carian imej terbalik (reverse image search). Jika gambar yang sama muncul pada beberapa akaun, besar kemungkinan ia adalah penipuan,” katanya hari ini.

Rusdi berkata, kebanyakan mangsa dipengaruhi melalui naratif emosi dan komunikasi yang meyakinkan, justeru orang ramai perlu mengesahkan identiti seseorang sebelum menjalinkan hubungan secara dalam talian.

Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak memindahkan wang dalam apa jua keadaan kerana antara alasan lazim digunakan ‘scammer’ ialah kononnya berdepan kecemasan perubatan, ditahan pihak kastam atau memerlukan wang bagi tujuan perjalanan.

“Jangan sesekali menghantar wang atas apa jua alasan seperti sakit, ditahan kastam atau untuk membeli tiket kerana itulah taktik utama yang digunakan dalam penipuan ini.

“Orang ramai juga boleh meminta untuk membuat panggilan video kerana scammer lazimnya akan mengelak atau memberi alasan yang mencurigakan.

“Jangan mudah diperdaya dengan cerita dramatik melibatkan kesedihan, kecemasan atau ugutan kerana semua itu digunakan untuk memanipulasi emosi mangsa,” katanya.

Tegasnya, polis akan terus menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berinteraksi dengan individu tidak dikenali di platform dalam talian.

“Segera laporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi mengelakkan kerugian lanjut,” katanya. - Getaran, 12 April 2026