LPPKN sedia subsidi hingga RM5,000 bantu pasangan jalani rawatan kesuburan

LocalHealth & Fitness
1 Jul 2026 • 2:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

LPPKN sedia subsidi hingga RM5,000 bantu pasangan jalani rawatan kesuburan

PETALING JAYA, 1 JULAI: Lebih ramai pasangan yang berdepan masalah kesuburan berpeluang mendapatkan rawatan dengan kos lebih rendah apabila Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan subsidi sehingga RM5,000 menerusi Program Bantuan Rawatan Kesuburan (BuAI).

Timbalan Pengerusinya, Juwairiya Zulkifli berkata setiap pasangan yang layak turut menerima dua kitaran rawatan serta saringan kesuburan secara percuma menerusi inisiatif berkenaan.

Menurutnya, program itu memberi tumpuan kepada wanita daripada golongan berpendapatan rendah (B40) berusia 35 tahun dan ke bawah bagi meningkatkan peluang mendapatkan rawatan kesuburan.

Image from: LPPKN sedia subsidi hingga RM5,000 bantu pasangan jalani rawatan kesuburan
Timbalan Pengerusi LPPKN, Juwairiya Zulkifli berucap dalam Majlis sambutan Hari Bapa peringkat Negeri Selangor di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 1 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Program ini memberi tumpuan kepada wanita daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang berusia 35 tahun dan ke bawah bagi meningkatkan peluang mendapatkan rawatan kesuburan.

“Pasangan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta menjalani saringan awal di Klinik Nur Sejahtera di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Bapa di Dewan Sivik MBPJ, hari ini.

Beliau berkata selain rangkaian Klinik Nur Sejahtera, LPPKN turut menyediakan tiga klinik subfertiliti di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang menawarkan rawatan khusus kepada pasangan yang memerlukan.

Image from: LPPKN sedia subsidi hingga RM5,000 bantu pasangan jalani rawatan kesuburan
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Datuk Mohamad Zahri Samingon (dua kiri) bersama Timbalan Pengerusi LPPKN, Juwairiya Zulkifli (tengah) bergambar dalam Majlis sambutan Hari Bapa peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 1 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam pada itu, Juwairiya berkata Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) negara kini berada pada purata 1.6 anak bagi setiap wanita, masih di bawah paras penggantian minimum iaitu 2.1 anak.

Katanya, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada trend itu ialah pasangan berkahwin pada usia lebih lewat selain memilih untuk tidak mempunyai zuriat.

“Jadi LPPKN, sebagai agensi kependudukan dan institusi keluarga, antara yang kita usahakan adalah pemberian subsidi di bawah inisiatif BuAI untuk pasangan yang ingin mendapatkan zuriat tetapi mempunyai masalah dari sudut kewangan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved