
KOTA KINABALU, 22 JUN: Pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai ini, membuktikan reformasi ekonomi dan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan MADANI mula memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar melalui penggunaan MyKad bukan sahaja memastikan subsidi sampai kepada rakyat Malaysia yang layak, malah membantu mengurangkan ketirisan dan penyeludupan telah sekian lama menjejaskan keberkesanan sistem subsidi negara.

"Langkah ini juga dilaksanakan ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan terhadap pasaran tenaga global.
"Konflik yang berterusan di Asia Barat menuntut negara mengambil pendekatan lebih strategik dalam menjamin keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mustapha berkata langkah Malaysia mempererat kerjasama tenaga dengan negara seperti Rusia dan Turkmenistan, di samping memastikan jaminan bekalan melalui hubungan strategik dengan negara pengeluar tenaga utama, membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ketahanan tenaga negara serta menjamin kelestarian bekalan untuk jangka panjang.
Beliau berkata penurunan harga diesel mencerminkan keberkesanan dasar luar negara serta kecekapan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus ekonomi secara berhemah, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi berjaya membantu mengawal tekanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
Semalam Anwar mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter bermula Julai dan dilaksanakan selaras dengan pendekatan yang digunakan melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), iaitu dengan pengesahan melalui MyKad.
Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung.






