KOTA BHARU - Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 berkapasiti 20 juta liter sehari yang dibangunkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dengan kos kira-kira RM55 juta kini telah siap dan boleh digunakan, sekali gus bakal memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk di sekitar Pasir Hor hingga Tunjong.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar berkata, projek berkenaan telah disiapkan mengikut jadual dan kini hanya menunggu beberapa proses pengujian dan penyelesaian dokumen pentauliahan sebelum dapat digunakan sepenuhnya.
"Bulan ini siap. Sebenarnya sudah siap dan sudah boleh guna air itu. Cuma kita dalam peringkat terakhir untuk menyiapkan beberapa dokumen terakhir," katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Perasmian CSR Kelestarian PAAB di SKPH di sini pada Selasa.
Hadir sama, Guru Besar SKPH, Nik Hasnas @ Nik Hafizah Nik Kob.
Menurut beliau, LRA Chicha 2 itu dijangka membekalkan air kepada penduduk bukan sahaja di kawasan Pasir Hor dan sekitarnya, tetapi termasuk hingga ke Tunjong serta kawasan berhampiran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ujarnya, kapasiti pengeluaran sebanyak 20 juta liter sehari itu penting dalam usaha meningkatkan kapasiti bekalan air dan meningkatkan rizab margin bagi menampung keperluan penduduk, khususnya ketika permintaan meningkat.
"Bila hari perayaan, ada air yang ekstra untuk dibekalkan kepada penduduk. Kita mahu pastikan ada kapasiti tambahan untuk bekalan air," katanya.
Ir Zulkiflee memberitahu, LRA Chicha 2 merupakan loji rawatan air kedua yang dibina dan disiapkan PAAB di Kelantan selepas LRA Bukit Chupak di Gua Musang berkapasiti 10 juta liter sehari yang siap pada April lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, PAAB turut memberi perhatian kepada sistem paip lama bagi memastikan kapasiti air yang dihasilkan loji baharu tidak terbuang akibat kebocoran.
Tambahnya, projek penggantian paip uzur di Kota Bharu membabitkan jajaran kira-kira 113 kilometer di sekitar Kota Bharu dengan kos sekitar RM79 juta dan kini mencapai kira-kira 95 peratus siap.
"Kita tidak mahu bina loji air tetapi air itu terbuang. Sebab itu kita perlu ganti paip-paip uzur supaya kadar NRW dapat dikurangkan.
"Bila kita menggantikan paip-paip uzur, kita dapat mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW) ataupun kehilangan air," katanya.


