**media[3648472]**
KOTA BHARU - Seramai 513 murid dan 53 guru Sekolah Kebangsaan Pasir Hor (SKPH) menerima manfaat daripada inisiatif kelestarian Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menerusi peruntukan RM45,000 bagi menambah baik kemudahan bekalan air di sekolah berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Program Tanggungjawab Sosial (CSR) Kelestarian PAAB yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada kemudahan air, malah membudayakan amalan penjimatan air dan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.
Menurut beliau, antara kemudahan yang ditambah baik termasuk sistem bekalan air di bangunan surau serta pemasangan peranti cekap air.
"Selain itu, PAAB turut melaksanakan pemasangan tangki tadahan air hujan sebagai sumber alternatif bekalan air di sekolah.
"Inisiatif lain termasuk pembinaan rumah hijau, pemasangan tong kitar semula, menaik taraf bilik mesyuarat sekolah serta pemasangan TV pintar di bilik darjah terpilih," katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Perasmian CSR Kelestarian PAAB di SKPH di sini pada Selasa.
Hadir sama ialah Guru Besar SKPH, Nik Hasnas @ Nik Hafizah Nik Kob.
Pada program itu, Ir Zulkiflee turut menyerahkan replika cek Sumbangan Kelestarian PAAB kepada Nik Hasnas.
Ir Zulkiflee memberitahu, pemilihan SKPH sebagai sekolah penerima inisiatif berkenaan mengambil kira kedudukannya yang berhampiran projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di Mukim Pasir Hor di sini.
**media[3648473]**
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, projek LRA Chicha 2 berkapasiti 20 juta liter sehari itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di sekitar Kota Bharu, selain membantu menangani isu kekurangan bekalan air terutama ketika musim kemarau dan musim perayaan.
"PAAB bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur air, tetapi turut melihat aspek pendidikan dan kesedaran generasi muda supaya mereka memahami nilai air bersih dan kepentingan menjaganya.
"Justeru, melalui program ini, kita mahu warga sekolah bukan sahaja menerima kemudahan yang lebih baik, tetapi turut menjadi sebahagian daripada usaha membudayakan penggunaan air secara berhemah," katanya.
Menurut beliau, dalam masa sama, PAAB turut menganjurkan Forum Kesedaran Kelestarian dengan kerjasama pihak sekolah dan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi memberi pendedahan kepada murid mengenai isu berkaitan air, proses rawatan air serta kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Ujar Ir Zulkiflee, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh memainkan peranan sebagai agen perubahan dengan membantu mendidik murid mengamalkan budaya menghargai air dan amalan hijau bukan sahaja di sekolah, malah di rumah.



