
SHAH ALAM – Pelaburan berjumlah RM16.63 bilion bagi membangunkan Laluan Transit Aliran Ringan (LRT 3) atau Laluan Shah Alam bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah mula memberi limpahan kepada aktiviti ekonomi komuniti di sepanjang jajaran, terutamanya di kawasan perniagaan yang terletak berhampiran dengan stesen.
Laluan sepanjang 37.8 kilometer yang menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang itu mempunyai 20 stesen operasi, memberi akses pengangkutan awam lebih baik kepada kira-kira dua juta penduduk.
Selepas tiga bulan beroperasi, kehadiran pengguna LRT 3 dilihat telah memberi nafas baharu kepada komuniti peniaga kecil berhampiran apabila lebih ramai pelanggan datang berkunjung, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Bagi generasi kedua perniagaan Cendol Legend yang terletak di Pasar Jawa, Klang, Shahjahan Jalal Khan, 48, kewujudan stesen Jambatan Kota betul-betul bersebelahan tapak perniagaan itu memberi kesan positif yang signifikan terhadap jumlah pelanggannya sejak LRT 3 beroperasi.

Katanya, perniagaan yang diambil alih daripada ayahnya pada tahun 2015 itu kini mampu mencatat jualan sekitar 400 hingga 500 mangkuk cendol sehari pada hari biasa, dan angka itu boleh meningkat kepada 700 hingga 800 mangkuk ketika hari minggu.
“Alhamdulillah, memang ada peningkatan terutama pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan ketika cuti sekolah.
“Pengguna LRT dari Shah Alam, Kajang dan Kuala Lumpur semakin ramai yang datang, mungkin kerana mereka kini memiliki alternatif pengangkutan baharu dan tidak perlu berdepan kesesakan jalan raya.
“Paling ketara, sepanjang promosi tambang percuma selama 44 hari, yang berakhir pada 14 Ogos lalu. Saya ingat tarikh tersebut kerana ramai warga Lembah Klang yang memanfaatkan kemudahan ini dan impaknya memang dahsyat, jumlah pelanggan saya meningkat sehingga kira-kira enam kali ganda.
“Dari empat orang pekerja, saya terpaksa tambah kepada lapan orang. Sepanjang saya berniaga, belum pernah saya mengalami keadaan seperti itu,” katanya.
Shahjahan menjelaskan, selepas tempoh promosi tamat, perniagaannya beransur kembali stabil, namun jelas ia lebih baik berbanding sebelumnya.
Sementara itu, peniaga pakaian dan kelengkapan haji serta umrah di Pasar Jawa, Ariffin Ismail, 43, berkata, operasi LRT 3 menjadikan kawasan berkenaan lebih meriah, terutama pada Sabtu dan Ahad.
Menurutnya, kemudahan tambang percuma pada awal tempoh operasi banyak membantu mempromosikan kawasan tersebut dan memperluaskan capaiannya kepada asas pelanggan yang lebih besar, bukan sekadar penduduk setempat.
“Memang ada pertambahan terutamanya dari segi jumlah orang ramai yang lalu lalang. Pastinya bukan semua datang untuk membeli, jadi di sinilah peranan peniaga untuk mengadakan aktiviti promosi dan sebagainya bagi menambah daya tarik di mata pelanggan.
“Kami sendiri ada melakukan promosi jualan baju kurta dan pakaian lain, dan dari segi kelangkapan haji dan umrah, permintaan itu sentiasa ada sepanjang tahun,” ujarnya.
Selain itu, akses kemudahan pengangkutan awam lebih baik yang disediakan LRT 3 turut dimanfaatkan golongan pelajar, terutamanya penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang disokong kemudahan dua stesen berdekatan, iaitu stesen UiTM Shah Alam dan stesen Seksyen 7 Shah Alam.

Bagi penuntut tahun 1 UiTM, Nurul Asyiqin Mohd. Sham, 20 tahun, kemudahan LRT3 memudahkan perjalanan antara kolej kediamannya di Kolej Mawar dan kawasan sekitar Shah Alam.
Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Taman dan Ameniti itu berkata, dia menggunakan perkhidmatan e-hailing dengan tambang RM6 dari Kolej Mawar ke stesen LRT Seksyen 7 sebelum meneruskan perjalanan menggunakan LRT ke Bandar Utama.
“Ini sebenarnya kali pertama saya menggunakan LRT 3, namun saya biasa menggunakan kemudahan MRT sebelum ini. Ia memang seronok dan memudahkan,” katanya.
Seorang lagi pelajar UiTM, Muhammad Noor Fadzly Mohd. Ariffin, 25, berkata, dia telah menggunakan LRT 3 sejak ia mula-mula beroperasi tiga bulan lalu, kebiasaannya untuk berkunjung ke Kuala Lumpur.
Pelajar tahun kedua Sarjana Muda Pengurusan Hartanah itu berkata, penggunaan LRT bukan sahaja lebih cepat, malah menjimatkan kos perjalanan berbanding menggunakan kereta, khususnya apabila keluar bersama kumpulan besar.

“Kalau sebelum ini kami biasanya naik kereta, tetapi kami selalu bergerak dalam kumpulan besar sehingga 10 orang, jadi perlu guna dua kereta.
“Sekarang dengan LRT perjalanan menjadi lebih mudah, kami tidak perlu berpecah. Kos perjalanan dan parkir kenderaan juga dapat dijimatkan,” katanya.
Selain memudahkan mobiliti, peningkatan aliran pengguna menyerlahkan peranan LRT 3 bukan hanya sebagai infrastruktur pengangkutan, malah menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi setempat apabila pergerakan penduduk dan pengunjung menjadi lebih mudah dan efisien.
Antara lokasi menarik yang mudah dikunjungi menggunakan LRT 3 termasuk Taman Tasik Shah Alam dan Muzium Sultan Alam Shah di stesen Dato’ Menteri, Pasar Jawa dan Klang Little India di stesen Jambatan Kota, serta Taman Tema i-City dan Taman Botani Negara Shah Alam di stesen Seksyen 7, Shah Alam. -KOSMO! ONLINE
The post LRT 3 penggerak mobiliti, merancakkan ekonomi komuniti appeared first on Kosmo Online.






